Rela potong gaji demi bantu rakyat - Utusan Malaysia

Rela potong gaji demi bantu rakyat

ZULKIFLE Ab. Rahman menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima Program Bantuan Prihatin Maik di Muzium Islam Negeri di sini, Kota Bharu. - UTUSAN/ROSLIZA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Warga kerja Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) sepakat menubuhkan Dana Awam Baitulmal dan memotong gaji secara sukarela sejak Januari lalu bagi membantu golongan memerlukan, termasuk orang bukan Islam di negeri ini.

Timbalan Yang Dipertua Maik, Zulkifle Ab. Rahman berkata, setakat ini, dana terkumpul hasil potongan gaji 382 kakitangan dan pegawai Maik, termasuk imam masjid bandar dan jajahan itu sudah mencecah RM100,000.

“Selagi mereka bekerja dengan Maik, potongan gaji dibuat setiap bulan sehingga bersara. Jumlah itu tidak penting, asalkan ada kesungguhan untuk mereka sama-sama membantu rakyat.

“Selain golongan terkesan akibat pandemik Covid-19, golongan memerlukan bantuan bagi membaik pulih rumah, perubatan atau sebagainya. Malah orang bukan Islam juga turut dibantu menggunakan dana ini,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita ketika menghadiri Program Bantuan Prihatin Maik bersama Yayasan Amal Datuk Zul Wisma untuk diagihkan kepada 300 penerima di Muzium Islam Negeri di sini semalam.

Turut hadir Pengerusi Yayasan Amal Datuk Zul Wisma, Datuk Dr. Zulkepli Mohamad.

Zulkifle dalam pada itu memberitahu, Dana Awam Baitulmal tidak terhad kepada warga kerja Maik sahaja, sebaliknya turut mengalu-alukan sumbangan daripada sesiapa sahaja yang mahu membantu.

Selain itu katanya, Maik sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mengenal pasti para penerima untuk mengagihkan bantuan kepada mereka dalam masa terdekat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN