GEORGE TOWN: Dua lelaki melecur pada bahagian tangan dan kepala ketika cuba memadam kebakaran yang berpunca daripada sebuah bot di Bayan Lepas di sini, petang ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, kedua-dua mangsa yang berusia 40 dan 26 tahun itu disahkan melecur tahap satu, namun berada dalam keadaan stabil selepas dikejarkan ke hospital ketika ini.
Beliau berkata, pihaknya sebelum itu menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran tersebut kira-kira pukul 12.58 tengah hari sebelum mengerahkan sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Balik Pulau ke lokasi dengan dibantu oleh BBP Bayan Baru.
“Ketika sampai di lokasi, bot tersebut didapati telah terbakar sehingga 50 peratus dan kerja-kerja pemadaman dibuat dengan menggunakan dua aliran salur bantu mula dan dibantu oleh Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berhampiran.
“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) seterusnya membuat ‘size up’ dengan menggunakan kaedah ‘offensive’ dan ‘defensive’,” katanya yang memberitahu, kebakaran seterusnya berjaya dipadamkan sepenuhnya kira-kira pukul 1.27 petang.
Jelas beliau, berdasarkan maklumat awal, kebakaran itu berlaku apabila bateri yang cuba dipasang oleh mangsa pada bot yang tersadai agak lama di situ telah menghasilkan percikan api secara tiba-tiba.
Katanya, percikan api tersebut kemudian menyambar lebihan minyak yang berada berdekatan mereka sehingga berlaku kebakaran. – UTUSAN










