PETALING JAYA: Pendedahan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengenai krisis politik di Perlis yang berpunca daripada beberapa projek di negeri itu perlu segera diberi perhatian oleh Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM).
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, SPRM perlu segera memulakan siasatan kerana perkara tersebut melibatkan pentadbiran kerajaan negeri.
“Menurut Tan Sri Abdul Hadi, isu berkaitan projek di Perlis menjadi punca krisis politik sehingga berlaku penarikan sokongan dan Mohd. Shukri Ramli terpaksa meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar.
“Projek terlalu banyak. Projek pula tidak mengikut peraturan, itu salah. Di sebaliknya ada unsur rasuah. SPRM tunggu apa lagi, mulakanlah siasatan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Mohd. Puad berkata, walaupun Perlis merupakan negeri kecil dengan hasil yang terhad, pentadbiran negeri tetap perlu diurus dengan baik dan berintegriti.
“Negeri kecil, hasil pun kecil. Jika yang kecil pun tidak pandai ditadbir, bagaimana mahu mentadbir negara. Jangan terlalu berambisi,” katanya.
Beliau turut mengaitkan situasi itu dengan krisis politik yang didakwanya berlaku di empat negeri di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN) iaitu Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis yang dikenali sebagai SG4.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, perebutan jawatan dan desakan kepentingan tertentu termasuk tuntutan projek bercanggah dengan prinsip integriti serta bebas rasuah menjadi punca kemelut politik Perlis sehingga menyaksikan Mohd. Shukri Ramli meletak jawatan Menteri Besar.
Abdul Hadi dilaporkan berkata, pihaknya mempertahan kepemimpinan Mohd. Shukri semasa menerajui pentadbiran dan menyifatkan kemelut politik bukan disebabkan kelemahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang berkenaan.
Krisis politik di Perlis selepas wujud gerakan lima ADUN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan tiga daripada Pas menarik sokongan terhadap Mohd. Shukri.
Susulan itu, tiga ADUN Pas terlibat terhenti keahlian serta-merta dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Rus’sele Eizan kemudian mengumumkan kekosongan luar jangka kerusi Chuping, Bintong dan Guar Sanji. – UTUSAN










