PADANG TERAP: Rangka manusia dipercayai seorang lelaki yang dikhuatiri lemas di Sungai Kuala Pai di sini, pada hujung bulan lalu ditemukan di sungai tersebut di sini hari ini.
Mayat mangsa yang dipercayai Mohd. Shahril Hamid, 30, ditemukan kira-kira 100 meter dari tempat dia dipercayai terjatuh pada pukul 3.40 petang.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Mulkiaman Manzar berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung penemuan rangka manusia itu.
“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati ada satu rangka di permukaan sungai dan operasi mengeluarkan rangka dibantu oleh pasukan bomba.
“Rangka manusia tersebut disyaki mangsa lemas yang terjatuh di sungai ini pada 27 Jun lalu yang mana hari ini genap 25 hari kehilangannya,” katanya di sini hari ini.
Beliau memberitahu, air sungai yang deras menyukarkan kerja-kerja mengeluarkan rangka manusia tersebut dari sungai berkenaan.
Tambahnya, siasatan masih diteruskan dan mayat dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar untuk tindakan lanjut. – UTUSAN ONLINE










