ALOR SETAR: Polis menahan 31 individu termasuk dua wanita dipercayai terlibat dengan aktiviti perjudian secara dalam talian dan pertaruhan bola sepak Euro 2020 dalam 27 serbuan bermula 12 Jun hingga hari ini.
Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kesemua suspek yang berusia antara 17 hingga 55 tahun itu ditahan dalam Op Sogo VII bagi membanteras aktiviti judi dan pertaruhan sepanjang kejohanan Euro 2020,.
“Hasil siasatan dan risikan, nilai keseluruhan pertaruhan tersebut dianggarkan bernilai keseluruhan lebih RM2 juta.
“Perjudian itu dijalankan melalui aplikasi WhatsApp, WeChat, Wish, PUBG dan 19 laman sesawang lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, polis turut merampas 40 unit telefon bimbit, empat set komputer, tiga unit komputer riba, satu unit tablet, dua unit modem dan router serta wang tunai RM33,326.
“Kes disiasat dibawah Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953 yang membawa hukuman denda RM20,000 hingga RM200,000 dan penjara tidak lebih lima tahun,” katanya. – UTUSAN ONLINE










