KUALA LUMPUR: Kerajaan berjaya menjimatkan kira-kira RM800 juta menerusi inisiatif penyasaran subsidi petrol Budi Madani RON95 (BUDI95).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hasil penjimatan tersebut dipulangkan semula kepada rakyat melalui inisiatif Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (Sara).
Kata beliau, langkah itu sekali gus mengekang subsidi itu dinikmati lebih 3.5 juta warga asing termasuk melibatkan penyeludupan puluhan ribu liter bahan api ke luar negara.
“Sejak lebih 20 tahun lalu, penyasaran subsidi minyak telah dibincangkan oleh setiap kerajaan yang memerintah namun tiada yang mempunyai keberanian dan tekad politik untuk melaksanakannya.
“Kerajaan Madani telah mengambil langkah berani menerusi BUDI95 untuk memastikan subsidi ini hanya dinikmati rakyat Malaysia, dan tidak terus dihirup lebih 3.5 juta warga asing serta puluhan ribu liter yang diseludup ke luar negara,” katanya dalam hantaran di akaun Facebook miliknya hari ini.
Dalam pada itu, Anwar berkata, hasil penjimatan itu juga akan dimanfaatkan bagi menaik taraf klinik dan hospital, memperbaiki jaringan jalan raya serta memperkukuh prasarana negara.
Kanya, ia demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara jangka panjang. – UTUSAN










