Titah Adendum: Najib balik rumah atau tidak?

Titah Adendum: Najib balik rumah atau tidak?

NAJIB RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Esok, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan memutuskan sama ada Titah Adendum yang membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani hukuman penjara di rumah (house arrest) adalah sah dan boleh dilaksanakan.

Keputusan oleh Hakim Alice Loke Yee Ching dibuat hampir setahun selepas Mahkamah Rayuan memberi kebenaran kepada Najib untuk meneruskan cabaran mengenai Titah tersebut selepas membenarkan rayuannya pada 6 Januari lalu.

Sekiranya Titah Adendum atau perintah tambahan itu sah, maka Najib akan pulang ke rumah untuk menjalani baki hukuman penjaranya sebelum dibebaskan sepenuhnya pada 23 Ogos 2028.

Namun sekiranya bekas Ahli Parlimen Pekan itu gagal membayar denda, hukuman penjaranya akan dilanjutkan sehingga Ogos 2029.

Andai keputusan tidak memihak kepadanya, bekas Presiden UMNO itu akan pulang ke Penjara Kajang untuk meneruskan hukumannya.

Pada 29 Januari 2024, Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-61 telah memutuskan untuk mengurangkan hukuman penjara 12 tahun kepada enam tahun dan denda RM210 juta dikurangkan kepada RM50 juta.

Kemelut berhubung Titah Adendum tersebut timbul apabila Najib memfailkan semakan kehakiman pada 1 April 2024 bagi mencabar kewujudan perintah tambahan selepas menerima `maklumat yang sahih’ daripada individu tertentu yang kemudian dikenalpasti sebagai Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berdasarkan afidavit yang difailkan.

Pada 3 Julai 2024, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Amarjeet Singh menolak permohonan Najib untuk memulakan semakan kehakiman tersebut atas alasan Titah Adendum tersebut hanyalah dengar cakap (hearsay).

Pada awal Januari lalu, dengan keputusan majoriti 2-1, Najib berjaya dalam rayuannya dan kes itu semakan kehakiman itu kemudiannya dihantar semula ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan didengar oleh Hakim Yee Ching.

Pada 28 April lalu, Peguam Negara berjaya mendapat kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan untuk merayu keputusan tersebut dengan mengemukakan beberapa persoalan undang-undang.

Sewaktu pendengaran pada 9 Julai lalu, Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan mengakui bahawa Titah Adendum tersebut wujud namun mempertikaikan sama ada titah yang didakwa dikeluarkan selepas Mesyuarat Lembaga Pengampunan bertarikh 29 Januari 2024 adalah sah dan boleh dilaksanakan.

Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib dalam hujahannya sebelum ini menyatakan bahawa Titah Adendum itu sah dan perlu dilaksanakan secepat mungkin.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas mendengar hujah-hujah pihak terlibat pada mulanya menetapkan 5 Januari 2026 untuk keputusan semakan kehakiman itu.

Tarikh tersebut kemudiannya dipercepatkan kepada 22 Disember ini selepas mahkamah membenarkan permohonan oleh barisan peguam Najib. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN