Polis buru lelaki serang Pengerusi Eksekutif PHEB guna senjata tajam - Utusan Malaysia

Polis buru lelaki serang Pengerusi Eksekutif PHEB guna senjata tajam

SHAFEE ABDUL SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Polis giat memburu suspek yang didakwa menyerang seorang lelaki warga emas berusia 70 tahun dengan menggunakan senjata tajam di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abdul Samad berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 9.15 malam di Taman Alma, Machang Bubok di sini.

“Siasatan awal mendapati, mangsa yang juga seorang lelaki warga tempatan diserang oleh empat lelaki tersebut dengan menggunakan senjata tajam di hadapan rumahnya di kawasan perumahan berkenaan.

“Akibat serangan itu, mangsa mengalami cedera parah dan telah dikejarkan ke Hospital Bukit Mertajam. Keadaannya ketika ini bagaimanapun dilaporkan stabil,” katanya, di sini hari ini.

Jelas Shafee, kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan mana-mana saksi yang melihat kejadian itu diminta supaya menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Sobirin di talian 018-2926844 bagi membantu siasatan.

Dalam pada itu, mangsa yang cedera parah dipercayai merujuk kepada Pengarah Eksekutif Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (PHEB), Datuk M. Ramachandran.

Difahamkan susulan kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian leher, paha, belakang kepala serta badan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr. P. Ramasamy yang mengesahkan kejadian itu berkata, mangsa bagaimanapun kini berada dalam keadaan stabil.

“Serangan terhadap beliau (Ramachandran) ini juga adalah seperti serangan terhadap kerajaan negeri Pulau Pinang, PHEB dan saya selaku Pengerusi PHEB.

“Dalam hal ini, saya akan berusaha untuk memastikan dalang yang terlibat dalam kejadian ini ditahan serta dikenakan hukuman sewajarnya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya