PETALING JAYA: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempengerusikan mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini melalui sidang video dari hospital bagi membincangkan perkembangan situasi pandemik Covid-19 di dalam negara.
Perdana Menteri dalam Facebooknya berkata, perbincangan itu termasuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang sedang berkuat kuasa di mukim-mukim di Selangor dan 14 lokaliti di Kuala Lumpur serta laporan pemantauan setiap negeri di dalam fasa pemulihan negara.
“Alhamdulillah selain lima buah negeri yang telah pun beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN), terdapat beberapa buah negeri lagi yang menunjukkan perkembangan yang amat baik dan berpotensi untuk mencapai ketiga-tiga indikator nilai ambang utama dalam waktu terdekat.
“Saya berharap situasi pandemik di negara kita dapat terus dikawal dan lebih ramai rakyat dapat divaksin dalam masa terdekat dengan penerimaan bekalan vaksin yang lebih banyak pada bulan ini,” katanya.
Sebelum ini Pejabat Perdana Menteri memaklumkan, Muhyiddin dimasukkan ke hospital pada 30 Jun lalu kerana dikatakan mengalami diarea.
Semalam, beliau dijangka dibenarkan keluar hospital dalam tempoh beberapa hari setelah kesihatan beliau bertambah baik.
Dalam pada itu, Muhyiddin ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada sukarelawan badan-badan amal, parti-parti politik, pihak swasta dan orang ramai yang tampil menghulur bantuan kepada rakyat Malaysia yang memerlukan pada masa ini di samping bantuan-bantuan disampaikan oleh pihak kerajaan.
“Semoga amal jariah anda semua diberikan ganjaran oleh Allah,” katanya.










