Peniaga ditahan sebar berita palsu 'banyak ambulans, polis' di Sungai Bakap - Utusan Malaysia

Peniaga ditahan sebar berita palsu ‘banyak ambulans, polis’ di Sungai Bakap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL: Polis menahan seorang wanita di Sungai Bakap di sini semalam berhubung penularan dua pesanan suara berita palsu mengenai kes Covid-19 menerusi aplikasi WhatsApp.

Suspek yang merupakan peniaga berusia 47 tahun itu ditahan selepas polis menerima laporan berhubung penyebaran berita palsu tersebut kira-kira pukul 1.30 petang.

Pesanan suara yang tular sejak semalam itu antaranya menyebut beberapa kedai didakwa terlibat kes Covid-19 selain peniaga Pasar Awam Sungai Bakap perlu menjalani ujian calitan dan pasar dijangka ditutup.

Pesanan suara kedua pula mendakwa kawasan Sungai Bakap dalam situasi ‘darurat’ berikutan terdapat kes kematian serta banyak ambulans dan kenderaan polis yang dikatakan membawa jenazah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintenden Lee Chong Chern berkata, laporan dibuat Ketua Polis Balai Sungai Bakap selepas penyebaran pesanan suara tersebut menyebabkan ketakutan dan panik dalam kalangan masyarakat setempat.

Jelas beliau, hasil siasatan mendapati pesanan suara itu dihantar seorang wanita kepada ahli keluarganya dan sebuah kumpulan WhatsApp di Sungai Bakap.

“Rakaman percakapan suspek menyatakan dia menghantar pesanan tersebut semasa berniaga di tepi jalan besar Sungai Bakap setelah ternampak konvoi pasukan polis menghala ke Hospital Sungai Bakap dengan berpakaian penuh peralatan perlindungan diri (PPE).

“Tujuan dia menghantarnya adalah untuk memberi peringatan kepada ahli keluarga dan rakan-rakan supaya berjaga-jaga dengan Covid -19,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, hasil semakan mendapati wanita itu bertindak demikian selepas dia melihat pasukan polis dari Balai Polis Sungai Bakap membawa mayat seorang lelaki yang meninggal dunia di Kampung Valdor.

“Anggota memakai PPE penuh kerana sebagai perlindungan diri dan langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan berlaku perkara di luar jangkaan,” katanya.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN