ALOR SETAR: Kerajaan negeri menetapkan empat syarat dalam menangani isu pencerobohan tanah untuk tujuan bangunan atau rumah ibadat bukan Islam di negeri ini demi menjamin ketenteraman awam dan kedaulatan undang-undang.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri, Mejar (B) Mansor Zakaria berkata, perkara itu bukan sekadar isu sensitiviti tetapi melibatkan pelanggaran undang-undang yang perlu ditangani secara tuntas.
“Bagi memastikan isu ini ditangani secara berkesan dan harmoni, kerajaan negeri menetapkan parameter berikut iaitu Penilaian Status Tanah di mana sebelum sebarang keputusan dibuat, penilaian terperinci mengenai status tanah dan hak milik wajib dikenal pasti bagi memastikan kesahihan tindakan.
“Ia turut melibatkan mekanisma rundingan di mana PBT diwajibkan mengadakan sesi perbincangan teknikal dengan pihak terlibat untuk mencari penyelesaian terbaik sebelum tindakan fizikal diambil terutamanya bagi kes di tanah kerajaan.
“Syarat lain ialah pemantauan proaktif iaitu PBT diarahkan bertindak di peringkat awal pembinaan bagi mengelak konflik sosial dan pembaziran kos di kemudian hari dan terakhir, tindakan perobohan hanya akan diambil sebagai jalan terakhir jika semua rundingan dan tempoh notis undang-undang gagal dipatuhi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sesi Penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Mesyuarat Pertama Penggal Keempat ke-15 di Wisma Negeri di sini hari ini.
Mansor berkata, tindakan itu adalah satu keperluan perundangan demi keselamatan awam dan bukan bersifat diskriminasi, malah kerajaan negeri komited memastikan keharmonian terus terpelihara melalui tadbir urus yang telus.
Tambah beliau, kerajaan negeri sentiasa bersikap terbuka dan menghormati hak setiap rakyat untuk mengamalkan ajaran agama masing-masing.
“Bagaimanapun, kebebasan ini mestilah selari dengan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) dan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) dengan sebarang struktur sama ada komersial, kediaman, mahupun rumah ibadat mesti mempunyai Kebenaran Merancang (KM) dan kelulusan pelan bangunan,” katanya. –UTUSAN










