KUALA LUMPUR: Isu rumah ibadat bukan Islam yang dibina tanpa kebenaran lebih sesuai dibincang dan diselesaikan melalui platform Jawatankuasa Rumah Ibadat Bukan Islam.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Lo Su Fui berkata, perkara sebegini sudah lama berlarutan dan memerlukan penyelesaian secara matang.
Katanya, pandangan Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST) serta Ahli-Ahli Parlimen Kuala Lumpur juga penting dalam menangani isu berkenaan.
“Penyelesaian isu seperti ini tidak boleh dibuat secara unilateral atau terburu-buru. Ia mesti dilakukan melalui libat urus yang betul, bersama komuniti yang berkaitan dan melalui mekanisme yang sewajarnya.
“Dari segi garis panduan pembinaan termasuk rumah ibadat, secara prinsipnya undang-undang dan peraturan pembangunan sedia ada memang wujud dan terpakai,” katanya ketika sesi penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau merujuk Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari dan Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Mumtaz Md Nawi yang membahaskan isu berkenaan sebelum ini.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan memberi kuasa kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negara untuk mengambil tindakan ke atas rumah ibadat termasuk kuil yang dibina di tapak tidak sah.
Katanya, kerajaan tidak mengizinkan pembinaan mana-mana rumah ibadat yang tidak mengikut peraturan. – UTUSAN










