Peniaga alami 'axienty' kelar leher sendiri - Utusan Malaysia

Peniaga alami ‘axienty’ kelar leher sendiri

MANGSA kini stabil setelah menjalani pembedahan di HTJ, Seremban dan telah dipindahkan ke wad untuk pemantauan. - FOTO/IHSAN POLIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Seorang lelaki cedera parah dengan urut lehernya terputus selepas cuba mengelar diri sendiri menggunakan sebilah pisau dalam kejadian di Bandar Sunggala di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, kejadian itu disedari oleh isteri mangsa yang sedang tidur pada pukul 9 pagi selepas terdengar bunyi jeritan mangsa di tandas bilik tidur utama.

“Isteri mangsa terkejut apabila melihat mangsa dalam keadaan berlumuran darah dan memegang leher.

“Senjata pisau yang digunakan oleh mangsa diambil dari dapur rumah mangsa sendiri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Aidi Sham berkata, akibat daripada tindakan itu, mangsa telah mengalami kecederaan teruk di leher (urut putus) dan mangsa telah dipindahkan ke Zon Merah Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban untuk rawatan lanjut.

Jelas Aidi Sham, mangsa berusia 36 tahun merupakan seorang peniaga restoran di Telok Kemang di sini yang sudah berkahwin dan mempunyai empat orang anak.

Lelaki itu bertindak demikian bukan disebabkan faktor lain seperti masalah kewangan sebaliknya dia menghidap penyakit mental ‘anxiety’.

“Berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada Pegawai Perubatan, mangsa pernah mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Port Dickson kerana mengalami masalah tidak boleh tidur malam kerana mengalami ‘anxiety’.

“Menurut isteri mangsa, sebelum kejadian berlaku mangsa kerap menghadapi masalah tidur dan terlalu banyak berfikir namun mangsa tiada sebarang masalah kewangan atau peribadi,” katanya.

Beliau berkata, mangsa akan dirujuk kepada pakar psikiatrik untuk rawatan lanjut selepas dibenarkan keluar dari HTJ, Seremban memandangkan mangsa mempunyai rekod rawatan di sana.

“Mangsa kini stabil setelah menjalani pembedahan di HTJ, Seremban dan telah dipindahkan ke wad untuk pemantauan.

“Punca kejadian bukan disebabkan oleh faktor kewangan dan pihak polis ingin mengingatkan agar tidak disensasikan berita tidak benar atau tindakan undang-undang boleh diambil dibawah peruntukan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN