JOHOR BAHRU: Penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) membabitkan pesakit Covid-19 di negeri ini sehingga Selasa lalu adalah sekitar 78 peratus dengan 68 pesakit memerlukan bantuan alat pernafasan di kesemua 12 hospital kerajaan.
Meskipun penggunaan katil ICU masih di tahap terhad, ia telah menunjukkan trend penurunan yang mana mulai pertengahan Jun lalu, kapasiti penggunaan katil adalah pada status sekitar 77 hingga 85 peratus, berbanding bulan Mei pada sekitar 90 hingga 97 peratus.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan, daripada 160 unit katil ICU di hospital kerajaan termasuk di ruang yang diubah suai, sebanyak 108 katil dikhususkan bagi perawatan pesakit Covid-19.
“Kesemua 12 hospital kerajaan di negeri Johor adalah berstatus hibrid di mana pesakit Covid-19 dan bukan Covid-19 boleh mendapatkan rawatan sama ada sebagai pesakit luar atau pesakit dalam termasuk mengendalikan kes kelahiran bayi.
“Tetapi pada masa sama, hospital juga masih belum memulakan kes pembedahan elektif kecuali kes kanser, separa kecemasan dan kes kecemasan yang boleh mengancam nyawa.
“Ini kerana terdapat ruang di dewan bedah yang masih digunakan sebagai ruang rawatan pesakit kritikal (re-purposed ICU) dan juga petugas kesihatan dari dewan bedah juga terlibat dalam mobilisasi dalaman untuk membantu pengurusan kes Covid-19 di hospital masing-masing,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini. – UTUSAN ONLINE










