Pelantikan Muhammad Faris sebagai Undang Luak Sungei Ujong ke-11 didakwa tidak sah

Pelantikan Muhammad Faris sebagai Undang Luak Sungei Ujong ke-11 didakwa tidak sah

KEDIAMAN Rasmi dan Balai Undang Sungei Ujong di Ampangan, Seremban. -UTUSAN / NOR SHAFIQAH MOHD GHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Dato’-Dato’ Lembaga Adat Sungei Ujong mendakwa pelantikan Muhammad Faris Johari sebagai Undang Luak Sungei Ujong Ke-11 sebagai tidak sah kerana bercanggah aturan adat yang ditetapkan.

Menurutnya kenyataan bersama yang dikeluarkan, Orang Kaya Dato’ Laksamana Shaharumzaman Abdul Malek yang memaklumkan pelantikan itu telah dipecat pada 20 Mac lalu.

Katanya, surat pemecatan itu telah diterima oleh Pejabat Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan pada 30 Mac 2026

Ia sekali gus menjadikan beliau tidak mempunyai sebarang kelayakan dalam menentukan aturan adat di Luak Sungei Ujong termasuk melantik Undang luak tersebut.

“Dalam kenyataan media tersebut, ada menyebut nama Zainol Ariffin Ibrahim sebagai Dato’ Andulika Mandulika Tua Lembaga Waris di-Darat yang mengesahkan pelantikan tersebut.

“Sekali lagi dimaklumkan, penama ini juga telah dipecat pada 28 November 2024, surat pengesahan pemecatan juga telah dikeluarkan oleh Pejabat Dewan Keadilan dan Undang negeri bertarikh 2 Disember 2024.

“Ditegaskan sekali lagi, penama ini dengan jelas tiada lagi kelayakan dalam menentukan aturan adat di dalam Luak Sungei Ujong, apatah lagi dalam melantik Undang,” katanya.

Mengulas lanjut, kenyataan itu memaklumkan bahawa Majlis Dato’-Dato’ Lembaga Adat Sungei Ujong yang mengeluarkan kenyataan pelantikan itu juga tidak mempunyai pengesahan rasmi.

Katanya, penubuhan majlis tersebut tidak mempunyai kaitan dengan Balai Undang Luak Sungei Ujong serta dibuat tanpa pengetahuan Undang.

“Malah, berdasarkan surat Dewan Keadilan dan Undang negeri bertarikh 22 April 2025, penubuhan itu tidak mendapat pengesahan rasmi,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Dato’-Dato’ Lembaga turut mengesahkan bahawa Sazali Mohamed Yasin merupakan Dato’ Andulika Mandulika Sungei Ujong yang sah selepas dilantik pada 1 April 2025.

Tambahnya, surat pengesahan pelantikan tersebut telah dikeluarkan pada 11 April 2025 oleh Pejabat Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan.

Sehubungan itu, mereka menegaskan pelantikan Undang Luak Sungei Ujong perlu mendapatkan persetujuan sebulat suara daripada ibu-ibu soko waris Klana Hulu dan Klana Hilir.

Selain persetujuan semua Dato’-Dato’ Lembaga Adat Sungei Ujong serta pengisytiharan mestilah dibuat oleh Dato’ Shahbandar Sungei Ujong.

Katanya, pelantikan Muhammad Faris tiada persetujuan sebulat suara daripada kedua-dua waris Klana Hulu dan Hilir dan pihaknya.

“Telaga Undang merupakan rumah keluarga Wan Khairil Adli Mod Yusoff, mantan Dato’ Johan Tua yang telah dipecat pada 28 November 2024 dan telah ditutup pada tarikh sama.

“Maka sebarang kenyataan yang dikeluarkan dari mereka adalah tidak sah,” katanya.

Dalam pada itu, pihaknya turut menzahirkan taat setia kepada Dato’ Klana Petra Mubarak Dhohak sebagai Undang Luak Sungei Ujong yang sah ketika ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN