Pengarah syarikat nafi pamer pingat SPMP pada Proton X70

Pengarah syarikat nafi pamer pingat SPMP pada Proton X70

MOHAMAD Halmi Waramejini melangkah keluar dari Mahkamah Majistret Johor Bahru selepas berdepan pertuduhan mempamerkan gelaran Darjah Seri Paduka Mahkota Perak tanpa kebenaran di Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang pengarah syarikat tidak mengaku salah di Mahkamah Majistret Johor Bahru, di sini hari ini atas pertuduhan mempamerkan gelaran Darjah Seri Paduka Mahkota Perak di kenderaannya tanpa kebenaran bertulis Sultan Perak, pada awal Jun lalu.

Tertuduh, Mohamad Halmi Waramejini, 55, membuat pengakuan tersebut sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Wan Mohd. Norisham Wan Yaakob.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa tanpa kebenaran bertulis daripada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah telah mempamerkan bahan yang mengandungi gelaran Darjah Seri Paduka Mahkota Perak-Dato Seri (S.P.M.P.) pada kenderaan jenis Proton X70 bernombor pendaftaran ALR5717.

Lelaki itu yang merupakan aktivis pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini didakwa melakukan perbuatan tersebut kira-kira pukul 4 petang di Jalan Caranday Park, Setia Tropika di sini, 4 Jun lalu.

Bagi perbuatan itu, Mohamad Halmi dituduh mengikut Seksyen 17 Akta Kesalahan Yang Berhubungan Dengan Anugerah 2017 (Akta 787) dibaca bersama Seksyen 3(1)(d) Enakmen Lambang, Gelaran Dan Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Perak 2016 (Enakmen 12) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 3(3) Enakmen yang sama.

Tertuduh berdepan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tengku Amir Zaki menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 terhadap tertuduh. Bagaimanapun tertuduh merayu jaminan diringankan kerana mempunyai tanggungan dua orang anak yang masih bersekolah selain pendapatan terjejas akibat pandemik Covid-19.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 sementara tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 14 September ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN