Peneroka lega tempoh tandatangan pelarasan pinjaman dilanjutkan - Utusan Malaysia

Peneroka lega tempoh tandatangan pelarasan pinjaman dilanjutkan

RAZAK DAUD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Peneroka Felda di negeri ini lega apabila agensi itu telah melanjutkan tempoh menandatangani pelarasan pinjaman peneroka dari 14 hari kepada satu bulan yang berakhir 11 Ogos ini.

Pengerusi Biro Sosial dan Kemasyarakatan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) Gabungan Wilayah Jengka, Razak Daud berkata, persetujuan Felda begitu disanjung kerana peka dengan tuntutan majoriti peneroka.

Katanya, mereka mendakwa tempoh menghantar dokumen persetujuan perjanjian pelarasan pinjaman peneroka 14 hari terlalu singkat kerana tidak sempat untuk memahami isi kandungannya.

“Tanpa memahami isi kandungan itu dikhuatiri ada perkara yang tidak memihak kepada peneroka.

“Oleh itu mereka ada masa kira-kira 20 hari memperhalusi isi perjanjian dan ada ruang untuk berbincang dengan pihak Felda untuk penambaikan,” katanya di sini hari ini.

Razak berkata, rata-rata peneroka menyambut baik penyelarasan hutang berkenaan di mana setakat ini Felda Wilayah Jengka telah mencapai 33.8 peratus iaitu 5,055 daripada 14,957 orang peneroka yang telah menandatangani perjanjian.

“Saya menyeru serta berharap peneroka dapat menandatangani perjanjian ini ke tahap 100 peratus kerana tempoh yang diberikan satu bulan amat mencukupi untuk teliti perjanjian,” katanya yang juga Ketua Peneroka Felda Jengka 24.

Ketua Peneroka Felda Kampung Awah, Mazlan Abdul Rahman berkata, para peneroka akan menikmati pelupusan sebahagian hutang dan penyelarasan kebun sehingga 80 peratus jika menandatangani perjanjian.

Tegasnya, terima kasih kepada kepimpinan atasan Felda yang dapat menyelami hati nurani warga Felda yang dibebani hutang bayaran kembali (BK).

Ketua peneroka Felda Sungai Retang, Jerantut, Mohd. Hafizan Umar pula berkata, pelupusan hutang peneroka menjadi satu sejarah setelah diperjuangkan oleh generasi pertama dahulu.

“Jika peluang keemasan ini ditolak menjadi kerugian besar kepada peneroka yang terpaksa membayar hutang dalam tempoh panjang,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN