BN Negeri Sembilan nafi ‘tebuk atap’

BN Negeri Sembilan nafi ‘tebuk atap’

JALALUDDIN Alias
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan menafikan tindakan 14 ADUN parti itu yang menarik sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai usaha ‘tebuk atap’ atau cubaan merampas kuasa.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, pendirian tersebut dibuat secara terbuka, rasmi serta berasaskan prinsip selepas hilang keyakinan terhadap kepimpinan Menteri Besar.

Menurutnya, langkah itu bukan tindakan sulit, rundingan pintu belakang atau cubaan merebut kuasa, sebaliknya satu pendirian politik yang sah.

“Ini bukan tebuk atap. Ini adalah krisis keyakinan terhadap Menteri Besar akibat
kegagalan mengurus isu adat dan perlembagaan secara tertib.

“UMNO BN tidak campur urusan adat. Tetapi UMNO BN tidak boleh terus memikul tanggungjawab bersama terhadap tindakan eksekutif yang dilihat mencampuri ruang adat dan menjejaskan kestabilan negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau yang juga ADUN Pertang berkata, dakwaan yang cuba menggambarkan tindakan itu sebagai usaha tidak bertanggungjawab untuk mengambil alih pentadbiran negeri adalah tidak tepat dan mengelirukan.

Jelasnya, isu berkenaan bukan sekadar pertikaian politik biasa, sebaliknya melibatkan perkara serius yang menyentuh institusi adat, Perlembagaan negeri serta Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.

“Dalam masa sama, Exco daripada UMNO BN juga tidak dimaklumkan secara sewajarnya dalam proses kerajaan negeri, menyebabkan kami tidak boleh terus memikul tanggungjawab bersama terhadap keputusan yang tidak dipersetujui,” katanya.

Mengulas lanjut, Jalaluddin berkata, tindakan menarik sokongan bukan semata-mata berkaitan prestasi harian Menteri Besar, tetapi membabitkan keupayaan kepimpinan mengurus krisis institusi yang sensitif.

Beliau dalam pada itu berkata, isu melibatkan adat dan pentadbiran negeri perlu ditangani dengan kefahaman mendalam terhadap konteks Negeri Sembilan, selain memberi ruang kepada pimpinan tempatan bagi menjelaskan perkara tersebut.

“UMNO BN tetap menjunjung kasih Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, menghormati institusi Raja-Raja Melayu serta mempertahankan institusi adat dan undang-undang negeri,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak agar tidak ‘menyempitkan’ isu berkenaan kepada naratif ‘tebuk atap’ semata-semata, sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha memulihkan keyakinan terhadap pentadbiran negeri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN