MELAKA: Juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) terpaksa berhempas pulas sebelum menewaskan Melaka FC 2-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, malam ini.
Kemenangan ke-21 itu membuktikan skuad Harimau Selatan terus unggul dan sukar digugat untuk mengekalkan rekod tanpa kalah dengan mengutip 64 mata.
Kekalahan buat Melaka FC menyaksikan skuad bimbingan jurulatih E.Elavarasan berada di tangga ke-11 dipintas oleh Sabah walaupun mempunyai 17 mata yang sama.
Skuad Sang Kancil turut hampa apabila dua jaringan pada babak pertama dan kedua menerusi Aroon Kumar Ramaloo (minit-18) serta Ahmed Shamsaldin (minit-46) dibatalkan pengadil kerana off-said.
JDT menguasai babak perlawanan awal apabila pada minit ke-16 mereka hampir memecah kebuntuan jaringan gol apabila sepakan kencang Oscar Aribas berjaya ditepis keluar penjagal gol Melaka FC, Samuel Jacob.
Dua minit selepas itu tuan rumah mengejutkan pelawat apabila Aroon Kumar meledakkan jaringan menewaskan penjaga gol JDT, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.
Bagaimanapun, pengadil Muhammad Izzul Fikri Kamaruzaman membatalkan gol tersebut kerana Mahali Jasuli berada pada posisi off-said.
Tersentak dengan jaringan yang dibatalkan itu JDT terus mengandakan asakan dan pada minit ke-44 pemain gantian Ager Aketxe meledakkan sepakan kencang menerjah jaring untuk pelawat mendahului 1-0.
Belum sempat Melaka FC mengatur gerak di masa kecederaan perlawanan babak pertama hendak ditamatkan, pelawat menambah gol kedua menerusi tandukan Marcos Gulliherme.
Pada minit ke-46, Melaka FC hampa lagi apabila jaringan pemain import dari Mesir, Ahmed Shamsaldin dibatalkan pengadil kerana berada pada posisi off-said.
Melaka FC akhirnya berjaya merapatkan jurang apabila Dino Kalesic berjaya mencipta jaringan bagi kedudukan 1-2 selepas menerima hantaran Kwangil Park pada minit ke-75.-UTUSAN









