PUTRAJAYA: Kediaman selesa dan berprestij sememangnya idaman setiap orang sehingga ada yang sanggup melaburkan sejumlah wang untuk tujuan itu.
Bagi penduduk Conezion Residences, Putrajaya, sebuah servis apartmen bertaraf kondominium mewah, pastinya mengharapkan segala fasiliti dan tahap pembinaan adalah berkualiti tinggi dan harus setimpal dengan kos setiap unit rumah yang dibeli pada harga hampir RM1 juta.
Bagaimanapun, seperti indah khabar rupa. Walaupun hanya baru mendiami kediaman itu tiga tahun, pelbagai masalah kerosakan berlaku terutama melibatkan fasiliti dan kemudahan awam.
Menurut seorang penduduk kepada Utusan Malaysia yang hanya mahu dikenali Mira, masalah utama ialah melibatkan perkhidmatan lif yang gagal berfungsi sepenuhnya sehingga mengundang kesukaran kepada penduduk kondominium berjumlah 32 tingkat itu.
Katanya, daripada lima buah lif dalam satu blok, hanya satu sahaja berfungsi dan keadaan itu semakin sukar lebih-lebih lagi tidak ramai boleh menggunakan lif pada satu-satu masa kerana mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika tempoh pandemik Covid-19 ini.
Lebih mendukacitakan, Mira memberitahu, berlaku kebocoran paip pada tangki di bilik ‘wet riser’ pada Sabtu lalu sehingga berlaku ‘banjir’ besar bermula dari tingkat 14 sehingga air memasuki kediaman penduduk.
Keadaan itu lebih memburukkan lagi kerosakan lif apabila air memasuki ruang fius elektrik, namun kerja-kerja penyelenggaraan terpaksa ditangguhkan kerana kekangan perintah kawalan pergerakan.
“Setiap hari penduduk terpaksa beratur panjang semata-mata untuk menggunakan lif sejak Mac lalu. Ada antara mereka terpaksa menggunakan tangga dan keadaan ini lebih menyedihkan apabila melibatkan warga emas dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan.
“Pernah juga penduduk terperangkap dalam lif gara-gara sistem terhenti automatik kerana mengesan sistem tidak berfungsi dengan baik. Sebenarnya sejak hari pertama pindah ke sini keadaan lif sudah teruk seperti keadaan di pangsapuri yang berusia 15 tahun, sedangkan kami beli rumah ini lebih setengah juta,” katanya di sini semalam.
Mira berkata, pihak pengurusan kondominium telah membuat laporan polis berhubung satu kes kerosakan lif melibatkan tali pengangkat yang dianggap kerosakan paling serius sehingga boleh mengancam nyawa pengguna.
Katanya, laporan itu dibuat bagi meminta polis menyiasat kerana disyaki berlaku ciri-ciri khianat, kecuaian pekerja-pekerja asing dalam membuat pembaikan, syarikat tamak dengan sengaja mahu menambah kerja-kerja pembaikan akan datang.
“Perkara-perkara sebegini disyaki mengambil kesempatan aset komuniti untuk kepentingan diri sendiri atau angkara khianat yang mungkin mengakibatkan risiko kepada penghuni sehingga boleh menyebabkan kematian, kecederaan parah atau terperangkap,” katanya.
Mira berkata, pihak pengurusan tertinggi IOI Properties sebagai pemaju perumahan itu pernah ‘turun padang’ seterusnya memberi jaminan isu kerosakan lif akan diselesaikan pada bulan lalu, bagaimanapun situasi sama tetap berlaku.
Selain itu, katanya, tindakan pihak pemaju yang menempatkan pekerja-pekerja asing di kondominium itu sebagai ‘rumah kongsi’ juga seolah-olah merendahkan taraf kondominium itu.
“Pihak pemaju menyediakan fasiilti daif tidak setaraf harga. Apa prestijnya IOI kalau macam ini kita dapat,” katanya.
Usaha Utusan Malaysia untuk mendapatkan maklum balas daripada pihak IOI Properties gagal diperoleh sehingga petang ini. – UTUSAN