GUA MUSANG: Sekumpulan 30 buruh binaan warga asing yang tinggal di rumah kongsi di kawasan perindustrian di sini, dikatakan kebuluran selepas terputus bekalan makanan sejak sebulan lalu.
Mereka yang kehabisan bekalan beras dan lauk-pauk, terpaksa mengemis makanan daripada penduduk warga tempatan yang tinggal berhampiran kawasan itu.
Warga Indonesia, Sahira Talib, 45, berkata, penutupan kilang papan akibat pandemik Covid-19 sejak dua bulan lalu bukan sahaja menyebabkan mereka hilang punca pendapatan, malah hilang arah tuju.
Katanya, kebanyakan mereka sudah lama bekerja di kilang papan tersebut, iaitu antara lima hingga 10 tahun.
“Ada rakan sekerja di kilang papan itu habis makanan seminggu lalu. Kami cuba bantu memberikan sedikit beras untuk dibahagikan sesama sendiri.
“Ada juga penduduk tempatan yang baik hati menghulurkan makanan kerana sedih melihat kami kelaparan,” katanya ketika ditemui pemberita di kawasan kilang papan tersebut, di sini hari ini.
Seorang lagi warga Indonesia, Dandu Atas, 44, berkata, dia terpaksa catu makanan bersama rakan-rakan bujang lain sejak seminggu lalu dengan makan sekali sehari.
Katanya, kebanyakan pekerja bergaji hari dan pendapatan terjejas selepas kilang ditutup operasi hingga wang simpanan mereka serta bekalan makanan habis digunakan.
“Alhamdulillah, kami terima sumbangan penduduk tempatan, badan bukan kerajaan (NGO) dan wakil rakyat yang bersimpati. Orang Malaysia memang baik hati,” katanya yang berasal dari Sulawesi, Indonesia.
Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Asnaf Gua Musang (PEKA GM), Mohd. Syahbuddin Hashim berkata, pihaknya segera menyalurkan bantuan sebaik sahaja menerima maklumat pekerja dari Indonesia, Bangladesh dan Thailand itu kehabisan bekalan makanan.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas berkata, pihaknya menyerahkan barangan makanan asas seperti beras, telur, gula, gandum.
“Saya minta semua pengusaha dan pemilik kilang di kawasan industri supaya prihatin terhadap kebajikan pekerja, sama ada tempatan atau warga asing, mereka memerlukan pembelaan majikan ketika pandemik Covid-19 ini,” katanya. – UTUSAN










