Pejabat pesuruhjaya sumpah, mahkamah dibenarkan beroperasi - Utusan Malaysia

Pejabat pesuruhjaya sumpah, mahkamah dibenarkan beroperasi

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Majlis Keselamatan Negara (MKN) memutuskan untuk membenarkan pejabat pesuruhjaya sumpah beroperasi sepanjang tempoh fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu dengan mengambil kira pejabat tersebut juga memainkan peranan penting dalam memberi sokongan terutamanya kepada sektor hartanah dan perbankan serta operasi melibatkan isu perakuan kontrak dan pemeteraian urus niaga.

Menurutnya, begitu juga perbicaraan kes jenayah di mahkamah, namun kedua-dua perkhidmatan itu tidak dibenarkan di kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Bagi kes sivil termasuk kes tribunal pula ia dibolehkan beroperasi tetapi secara dalam talian dengan langkah tersebut turut meliputi kawasan yang diwartakan sebagai PKPD,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu katanya, Task Force Operasi Pematuhan mendapati masih ada lagi kilang dan premis perniagaan yang berdegil selain ingkar arahan serta prosedur operasi standard (SOP) apabila sebanyak lima buah kilang dan 10 premis perniagaan diarahkan ditutup operasi mereka di seluruh negara semalam.

“Pasukan tersebut melakukan pemeriksaan ke atas sebanyak 2,719 buah kilang selain 15,981 premis perniagaan serta 94 asrama penempatan pekerja,” katanya.

Jelasnya, secara kumulatif pasukan berkenaan sudah melaksanakan sejumlah 97,561 pemeriksaan dan serbuan mengejut dengan kekuatan seramai 20,781 anggota dari pelbagai agensi.

Katanya, sejak 25 Jun sehingga 1 Julai lalu, sebanyak 132,633 buah kilang, premis perniagaan dan asrama penempatan pekerja telah diperiksa oleh pasukan tersebut di seluruh negara.

Beliau menambah, sepanjang tempoh selama tujuh hari tersebut, sejumlah 726 premis dikenakan kompaun manakala 75 lagi diarahkan tutup operasi kerana ingkar SOP ditetapkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN