Peguam Negara, empat pihak dinamakan sebagai defendan dalam saman Siti Kasim - Utusan Malaysia

Peguam Negara, empat pihak dinamakan sebagai defendan dalam saman Siti Kasim

SITI KASIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Peguam Siti Zabedah Kasim dibenar menamakan Peguam Negara dan empat pihak lagi sebagai defendan-defendan dalam tuntutan saman berhubung tangkapan dan penahanan salah terhadapnya ketika serbuan dilakukan pada acara tertutup golongan transgender, lima tahun lalu.

Kelima-limanya boleh dinamakan sebagai defendan-defendan selepas Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohohonan aktivis tersebut yang turut dikenali sebagai Siti Kasim.

Selain Peguam Negara, seorang pegawai yang mengesyorkan pendakwaan terhadap beliau serta tiga timbalan pendakwa raya yang mengendalikan kesnya turut dinamakan dalam tuntutan saman tersebut.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Seri Latifah Mohd. Tahar turut membenarkan permohonan Siti Kasim selaku plaintif untuk membuat pindaan kepada writ saman dan pernyataan tuntutan bertarikh 1 April 2019 yang difailkannya.

Mahkamah memutuskan demikian selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) dan peguam-peguam lain tiada bantahan terhadap permohonan tersebut.

Siti Kasim mengemukakan saman terhadap Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan 18 pihak lagi selepas mendakwa dia ditangkap dan ditahan secara salah dan tidak mengikut undang-undang dalam serbuan tersebut.

Tiga lagi defendan adalah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia.

Selain itu, Siti Kasim turut menamakan Ketua Pegawai Penguatkuasa Wilayah Persekutuan dan 14 orang pegawai penguat kuasa Jawi sebagai defendan-defendan.

Pada 13 Jun 2017, Mahkamah Tinggi mengarahkan Jawi memberikan butiran berkaitan pegawainya yang terlibat menahan peguam tersebut.

Menurut plaintif, semua defendan yang menahannya hanya mempunyai bidang tugas dan kuasa untuk menyiasat kesalahan di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997.

Beliau mendakwa, penahanan salah selama empat jam menyebabkannya mengalami kejutan, terseksa jiwa, penderitaan dan penghinaan akibat daripada penahanan tersebut.

Plaintif juga mendakwa defendan telah melakukan misfeasans pejabat awam dan menahannya secara salah serta melanggar hak kebebasan asasinya di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Dakwanya, dia kemudian ditangkap secara salah walaupun tidak melakukan apa-apa kesalahan dan hanya hadir di majlis itu sebagai peguam kepada penganjur acara tertutup tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya