Moon So Ri bukan tempelan - Utusan Malaysia

Moon So Ri bukan tempelan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PELUANG untuk menemu bual pelakon hebat dari Korea Selatan ini tidak seharusnya dilepaskan. Apatah lagi sebagai seorang peminat drama-drama Korea atau K-Drama, pasti Moon So Ri adalah antara yang kerap ditonton.

Berilah apa sahaja watak, dia mampu melaksana dengan baik. Tujuh trofi pelakon wanita terbaik menerusi pelbagai filem dan drama membuktikan dia bukan sekadar pelakon tempelan semata.

Barisan drama sejak awal pembabitannya sekitar tahun 2007 berjaya membentuk dia sebagai seorang pelakon yang direbut pengarah dan penerbit.

Terbaharu, On the Verge of Insanity yang ditayangkan setiap Khamis bermula 24 Jun lalu di saluran Oh! K (Astro Ch 394) menjadi antara drama wajib tonton.

Hits berpeluang menemu ramah pelakon hebat ini. Dia berkongsi cerita tentang kehidupan, sikap dan pastinya drama baharunya.

HITS: Boleh kongsi tentang drama On the Verge of Insanity? Apa yang menarik tentang watak yang dilakonkan oleh anda?
Moon So Ri: Saya melakonkan watak Dang Ja Young yang merupakan ketua bahagian sumber manusia. Dalam drama ini, Ja Young berdepan dengan pelbagai isu dan cabaran menguruskan pekerja yang semua sedia maklum ada masalah masing-masing.

Tetapi, Ja Young sebenarnya seorang yang sangat kuat bekerja dan dia mencuba sedaya upaya untuk bertahan dengan semua krisis itu. Menerusi Ja Young, saya dapat menyelami perasaan seorang pekerja pejabat.

Bagaimana anda mencari idea untuk melakonkan watak Ja Young? Ada cuba ke pejabat untuk belajar kehidupan pekerja di sana?
Saya ada menemu bual beberapa pekerja di bahagian sumber manusia untuk memahami masalah mereka. Banyak perkongsian yang membuka mata saya tentang cabaran sebagai petugas di bahagian itu.

Malah, jika anda perasan Ja Young akan selalu memakai smart watch dan kad pekerja sepanjang drama. Itu adalah antara kod pakaian yang dicipta untuk Ja Young.
Saya faham, petugas di bahagian sumber manusia adalah tangan kanan pengurusan dan ada yang berpendapat mereka tidak memahami pekerja lain.
Tetapi melalui Ja Young, saya faham kesukaran dan kepayahan mereka berdepan isu tersebut.

Apa persamaan Ja Young dan So Ri?
Sebenarnya kami berdua seorang yang mementingkan kesempurnaan. Sebagaimana Ja Young, saya sendiri adalah seorang yang benar-benar memberikan yang terbaik setiap kali menerima watak baharu.
Ja Young juga anak pertama dalam keluarga, sama seperti saya. Jadi kami seolah-olah berkongsi tanggungjawab yang sama terutama kepada keluarga dan mereka di sekeliling.

Sejujurnya, adakah On the Verge of Insanity menggambarkan realiti dunia pejabat di Korea?
Drama ini baru ditayangkan untuk beberapa episod dan setakat ini, ramai penonton berkongsi kisah mereka yang hampir sama seperti yang digambarkan dalam drama itu. Pelbagai situasi dan cerita yang dikongsi.

Menerusi drama ini, saya percaya penonton berbahagi rasa. Ada kala gembira, sedih dan marah dengan apa yang dipaparkan dalam drama ini.
Saya harap jalan cerita On the Verge of Insanity mampu memberi sesuatu yang berbeza kepada mereka.

Boleh kongsikan pengalaman bekerja dengan Jung Jae Yung?
Ini kali pertama saya berlakon dengan Jae Yung. Tetapi dia seorang pelakon hebat dan saya sangat gembira kerana akhirnya dapat berlakon dalam drama sama. Mudah sebenarnya bekerja dengan Jae Yung.

Kami mudah mencari keserasian seolah-olah sudah pernah berlakon sama. Dia seorang pelakon yang sangat berpengalaman. Kadang-kadang, saya rasa seperti bergantung kepada dia juga.

Pengalaman manis atau pahit yang boleh dikongsi sepanjang penggambaran?
Oh ada! Saya bertuah kerana kru produksi dan barisan pelakon On the Verge of Insanity mengadakan parti hari jadi untuk saya. Terkejut sebenarnya. Kami juga banyak melakukan penggambaran di Changwon.

Saya seperti jatuh cinta dengan Changwon. Saya juga berpeluang melihat bunga sakura berkembang mekar dan itu adalah antara momen yang paling indah dalam hidup. Saya harap drama ini juga akan terus berkembang mekar.

Ada pesanan kepada pekerja pejabat (seperti saya) di Malaysia?
(Ketawa) Saya harap kita akan terus kuat dan bersemangat walaupun berdepan dengan pandemik ini. Semoga kita terus sihat dan bersama berjuang merentasi pandemik ini. Kita boleh!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×