JOHOR BAHRU: Tindakan terdesak keluarga atau individu yang menaikkan bendera putih kerana terputus bekalan makanan perlu dipandang serius komuniti setempat dan para pemimpin untuk menghulurkan bantuan segera.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Batu, Jimmy Puah Wee Tse berkata, masyarakat sekeliling boleh menjadi mata dan telinga untuk menyalurkan maklumat itu kepada pihak berkaitan atau memberi bantuan awal jika berkemampuan.
“Saya berharap lebih ramai pihak yang berkemampuan agar sama-sama prihatin terhadap mana-mana keluarga yang menaikkan bendera putih di hadapan rumah mereka kerana kita tidak tahu keadaan sebenar mereka.
“Malah, kami juga berikrar untuk memberikan pertolongan secepat mungkin kepada mana-mana kediaman yang menaikkan bendera putih lebih-lebih lagi dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Terdahulu, Wee Tse yang juga Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor menziarahi sebuah keluarga di Taman Putri, Kulai dekat sini yang menaikkan bendera putih selepas menyedari situasi itu kira-kira pukul 12.30 tengah hari ini.
“Saya terus melakukan lawatan ke rumah berkenaan sebelum mendapati penghuni rumah yang dikenali sebagai Aiman telah menggantung bendera putih itu pada pagi ini.
“Berdasarkan temu bual dengan pemuda yang berusia 21 tahun itu, kediaman tersebut dihuninya bersama bersama ibu dan tiga adik-beradiknya yang lain.
“Ayah mereka pula sudah meninggal dunia pada hujung tahun lalu dan keluarga ini memang berada dalam situasi yang amat memerlukan bantuan,” katanya.
Sehubungan itu, pihaknya terus bertindak menyampaikan sumbangan berbentuk barangan keperluan harian kepada keluarga berkenaan.










