ALOR GAJAH: Tidak tahu dan bimbang dikenakan tindakan undang-undang merupakan antara alasan yang kerap diberikan majikan yang gagal melaporkan kemalangan di tempat kerja.
Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Melaka, Abd. Razak Omar berkata, sebanyak 51 kes pendakwaan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja (Akta 4) telah dibuat bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini.
Menurut beliau, daripada jumlah tersebut sebanyak 15 kes melibatkan kegagalan majikan melaporkan kemalangan di tempat kerja.
“Sikap tidak bertanggungjawab pihak majikan ini semata-mata untuk lepas tangan dan mengelakkan dikenakan denda. Akibatnya pekerja yang menjadi mangsa dan teraniaya. Sekiranya majikan gagal berbuat demikian, pekerja sendiri boleh melaporkan kepada Perkeso.
“Ada juga yang tidak mencarum dan tidak diremitkan kepada Perkeso, tetapi potongan untuk caruman tetap ditolak daripada gaji pekerja. Apabila ditanya, majikan memberikan alasan mereka tiada duit dan kami memandang serius perkara ini,” katanya kepada pemberita pada Program Bantuan dan Faedah Prihatin Perkeso di sini hari ini.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Ismail Othman.
Razak menambah, Perkeso Melaka menerima 3,177 tuntutan bayaran faedah berjumlah RM9.58 juta bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Katanya, jumlah tersebut melibatkan pelbagai tuntutan termasuk pekerja yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
“Selain itu, saya mahu mengingatkan kepada orang ramai bahawa Perkeso tidak membenarkan tuntutan dibuat melalui orang tengah kerana bimbang mereka hanya berniat untuk mengambil kesempatan.
“Majikan atau individu yang berkaitan sahaja diminta tampil kepada Perkeso,” jelasnya. – UTUSAN