MAINS sumbang RM1.6j bagi masjid, surau bantu individu terkesan Covid-19 - Utusan Malaysia

MAINS sumbang RM1.6j bagi masjid, surau bantu individu terkesan Covid-19

AMINUDDIN HARUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebanyak RM1.6 juta diperuntukan menerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) untuk disumbangkan kepada 301 buah masjid dan 1,020 buah surau di negeri ini bagi menampung dan meringankan kesempitan hidup yang dialami ahli kariah yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, 301 buah masjid berkenaan menerima jumlah sumbangan yang berbeza mengikut kategori yang ditentukan iaitu berdasarkan baki akhir tabung masjid yang telah diserahkan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).

Bagi surau pula, masing-masing menerima sebanyak RM500 yang disalurkan melalui akaun masjid kariah masing-masing.

“Masjid yang baki akaunnya sedikit diperuntukkan sumbangan lebih daripada masjid yang lain agar pihak masjid berkenaan dapat menyantuni anak kariah mereka yang terputus sumber pendapatan atau terkesan dengan pandemik ini.

“Walaupun di Negeri Sembilan terdapat tanda penurunan kes baru positif Covid-19 kebelakangan ini, tetapi bantuan hendaklah diteruskan untuk memberi kesejahteraan kepada semua anak kariah sehingga keadaan kembali normal. Justeru, semua masjid diminta lebih proaktif dalam usaha menjaga kebajikan anak kariah dengan menggunakan wang tabung masjid bagi tujuan tersebut termasuk dengan mewujudkan gerobok rezeki,” katanya.

Aminuddin berkata demikian sewaktu berucap menyempurnakan Seminar Pengurusan Masjid Negeri Sembilan 2021 yang diadakan secara dalam talian hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, Kira-kira 51 peratus ahli jawatankuasa dan pegawai masjid di seluruh Negeri Sembilan telah lengkap menerima dos kedua vaksin Covid-19 manakala 35 peratus yang lain telah menerima dos yang pertama.

Sehubungan itu, Aminuddin yakin menjelang pertengahan bulan hadapan kesemua ahli jawatankuasa dan pegawai masjid akan menerima sekurang-kurangnya satu dos dalam usaha kerajaan negeri mencapai sasaran imuniti kelompok.

“Saya ingin ingatkan, kita di masjid perlu mendapatkan dua dos vaksin bagi memudah dan memastikan masjid dapat kembali dibuka pada masa akan datang.

“Saya menyeru kepada semua agar memanfaatkan peluang untuk divaksin mengikut temujanji sama ada di 107 buah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh Negeri Sembilan atau melalui program outreach yang disusun di setiap daerah,” katanya lagi. – ONLINE DONE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya