Luahan hati rakyat dalam ‘Bendera Putih’ - Utusan Malaysia

Luahan hati rakyat dalam ‘Bendera Putih’

Sedutan muzik video Bendera Putih.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Penyanyi Roy Kapilla mencuri tumpuan apabila muncul dengan lagu ‘Bendera Putih’ bagi menzahirkan luahan isi hati rakyat Malaysia yang teruk terjejas akibat pandemik Covid-19.

Lagu itu ciptaan komposer Eddie Hamid dengan lirik oleh pesara polis, Goh Lee Shen dan muzik video rasminya dimuat naik di saluran YouTube Eddie Hamid sejak Sabtu lalu sebelum mula tular dalam media sosial Facebook.

Bercakap kepada Utusan Online, Roy berkata, lagu itu pada mulanya dicetuskan bersama Eddie Hamid untuk berkongsi realiti golongan anak seni yang terputus bekalan beras dan makanan, gara-gara pintu rezeki mereka tertutup sejak PKP tahun lalu.

Bagaimanapun katanya, ia berkembang dalam konteks lebih besar apabila menyentuh realiti kesusahan dialami rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang dan inisiatif badan bukan kerajaan (NGO) yang berterusan menyalurkan bantuan kepada mereka.

Seterusnya, lagu itu turut menyentuh insiden cemuhan pemimpin parti politik tertentu terhadap kempen kibaran bendera putih serta kerenah golongan tertentu yang kemaruk kuasa tidak kira masa susah atau senang.

“Menerusi lagu ini, kita minta jangan dicemuh kalau ada yang kibarkan bendera putih, sebaliknya bantulah mereka seadanya. Kepada yang diuji, tanganilah dengan keimanan dan jati diri serta jauhi niat membunuh diri. Tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan.

“Mesej yang disampaikan di dalam lagu itu diharap dapat difahami semua pihak terutama ahli politik yang dimetaforakan sebagai ‘warna’ untuk bersatu dan mereka perlu sedar situasi kini tidak sesuai untuk jadi kemaruk kuasa,” ujarnya ketika ditemui di sini hari ini.

Roy atau nama sebenar Saufi Abdullah berkata, rakaman lagu dan pembikinan klip video Bendera Putih dibuat secara dalam talian bersama Eddie Hamid kerana kekangan PKP yang masih dikuatkuasakan di seluruh negara ketika ini.

Sementara itu, rata-rata warganet mengakui bait-bait lirik lagu itu ibarat ‘suara hati’ mereka yang ketika ini semakin tertekan dengan PKP yang berpanjangan namun jumlah kes Covid-19 pula terus menunjukkan peningkatan. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN