LIPIS: Seorang pemandu maut selepas lori kontena dipandunya terbabas di Kilometer 7, Jalan Lipis – Merapoh berdekatan Institut Pendidikan Guru Kampus Tengku Ampuan Afzan, di sini pukul 2 pagi ini.
Dalam kejadian itu, Mohd. Khairudin Abas @ Ibrahim, 33, yang beralamat di Kampung Bukit Merbau Selising, Pasir Puteh, Kelantan memandu lori membawa kontena berisi palet kayu dari sebuah kilang di Padang Tengku ,dekat sini dalam perjalanan ke Klang, Selangor.
Ketua Polis Lipis, Superintenden Azli Mohd. Noor berkata, apabila tiba di tempat kejadian, pemandu lori itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke kiri bahu jalan.
“Mangsa yang tersepit dikeluarkan dengan bantuan pasukan bomba dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang bertugas di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Lipis untuk bedah siasat selepas menerima keputusan saringan ujian Covid-19,” katanya di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










