Proton perlu bertahan sehingga 100 tahun – Tun M

Proton perlu bertahan sehingga 100 tahun – Tun M

Dr. Mahathir Mohamad melihat kereta Proton edisi terhad Limosin dan Eksekutif ketika menerima kunjungan hormat pemilik Proton Edisi Terhad (Limosin dan Eksekutif) di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya, semalam. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tun Dr. Mahathir Mohamad berharap agar jenama Proton terus bertahan dan kekal relevan sekurang-kurangnya sehingga 100 tahun akan datang sebagai lambang kejayaan industri automotif negara.

Bekas Perdana Menteri itu turut meletakkan keyakinan bahawa rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu, mempunyai kemampuan untuk menghasilkan kenderaan berkualiti tinggi setanding jenama antarabangsa.

“Semasa saya menjadi Perdana Menteri, saya guna kereta Proton Limosin. Saya tidak pakai Mercedes Benz dan lain-lain, saya pakai kereta Proton.

“Kita kena yakin diri. Kita boleh buat apa saja untuk kita. Orang Melayu ada kebolehan. Soalnya mahu ataupun tidak,” katanya ketika menerima kunjungan hormat pemilik Proton Edisi Terhad (Limosin dan Eksekutif) di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pembangunan industri seperti automotif dan aeroangkasa boleh dicapai sekiranya rakyat yakin kepada kebolehan sendiri.

“Saya yakin, kita bukan sahaja mahu milik kereta, kita mahu buat kereta. Sampai ke tahap cipta enjin, jentera dan segala komponen. Itu semua boleh dibuat oleh kita,” kata­nya.

Beliau turut menyambut baik usaha komuniti yang menghimpunkan model-mo­del lama Proton, termasuk yang sudah dilupuskan, sebagai satu langkah menghargai pencapaian kejuruteraan tempatan.

“Saya harap Proton akan te­rus kekal. Saya mungkin tidak sempat lihat, tetapi anak-anak kita semua akan lihat Proton berusia 100 tahun. Insya-Allah, kalau kita cekap menyelenggara, Proton akan terus di jalan raya,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN