PETALING JAYA: Tindakan dua pemuda melanggar sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Parlimen dekat sini semalam rupa-rupanya bagi mengelak daripada diperiksa pihak polis kerana positif dadah.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi itu, kedua-dua suspek yang menaiki jenis Perodua Alza berwarna putih dikatakan tidak berhenti di SJR di laluan masuk ke Parlimen dan terus membuat pusingan ‘U’.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, kenderaan dinaiki mereka kemudiannya terus memecut menghala ke arah Jalan Mahameru.
Jelas beliau, susulan daripada itu anggota yang bertugas di SJR telah mengejar kenderaan itu dan berjaya menahan mereka.
“Siasatan awal mendapati suspek gagal untuk memberhentikan kenderaan semasa berada di SJR kerana mereka ketika itu berada di bawah pengaruh dadah dan merasa ketakutan sekiranya ditahan oleh pihak polis.
“Ujian air kencing telah dibuat mendapati kedua-dua suspek positif Meth dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, kata beliau, semakan ke atas kenderaan yang dinaiki kedua-dua suspek telah didaftarkan atas nama seorang wanita.
“Pemilik kenderaan berkenaan kini sedang dikesan untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan.
“Kedua-dua suspek yang masing-masinh berusia 25 tahun itu kini direman selama tiga hari sehingga 29 Julai ini bagi siasatan lanjut,” jelasnya.