Lagi 4 kilang diarah tutup kerana langgar arahan - Utusan Malaysia

Lagi 4 kilang diarah tutup kerana langgar arahan

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pasukan Task Force Operasi Pematuhan mendapati masih ada lagi kilang dan premis perniagaan berdegil selain ingkar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan apabila empat kilang dan 20 premis perniagaan diarahkan ditutup operasi mereka di seluruh negara semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pasukan itu melaksanakan pemeriksaan ke atas 5,785 kilang selain 15,388 premis perniagaan, 569 tapak pembinaan dan 297 asrama penempatan pekerja.

Pada keseluruhannya jelas beliau, pasukan berkenaan melakukan sejumlah 89,136 pemeriksaan dan serbuan mengejut dengan kekuatan seramai 19,625 anggota dari pelbagai agensi.

“Sehingga semalam secara kumulatif, jumlah yang diperiksa meliputi 151,773 premis perniagaan, 25,970 kilang, 1,847 tapak pembinaan dan 812 asrama penempatan pekerja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau memberitahu, seramai 35 pendatang asing tanpa izin ditahan dan tiga kenderaan darat disita melalui Operasi Benteng dengan sebanyak 17 bot atau kapal dicurigai turut dikesan berdekatan perairan negara melalui empat aktiviti penglihatan dilaksanakan pasukan keselamatan.

Operasi itu juga menjalankan 940 sekatan jalan raya di seluruh negara yang turut melibatkan 45 di bawah kawalan pihak polis dan baki sembilan lagi oleh Agensi Kawalan Sempadan.

Dalam pada itu, kuarters pekerja kelapa sawit di Ladang Lepan Kabu, Jajahan Kuala Krai, Kelantan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai Selasa hingga 19 Julai ini.

Ismail Sabri berkata, ia melibatkan blok A dan B serta sebahagian Kampung Pahi yang bersempadan dengan kawasan kuarters itu ekoran berlaku peningkatan kes Covid-19 yang merekodkan 18 kes dengan kadar kebolehjangkitan tinggi.

Menurut beliau, turut dikenakan perintah sama ialah dua lokaliti di Sabah iaitu Kampung Jambatan Baru, Membakut, Beaufort dan Blok 6, Kampung Titingan, Tawau.

“Sementara itu, dua perkampungan di negeri tersebut yang sepatutnya berakhir PKPD pada esok dilanjutkan lagi iaitu di Kampung Jaya Baru, Kunak dan Kampung Serudung Baru, Tawau.

“Bagaimanapun, tiga lagi lokaliti di negeri tersebut ditamatkan PKPD esok seperti dijadualkan iaitu di Ladang Brumas, Kalabakan; Kampung Pulutan, Nabawan dan Taman Wijaya, Kota Kinabalu,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, bilangan pesalah ingkar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) di seluruh negara semalam merekodkan 691 individu diberkas dengan 651 daripadanya dikompaun, 39 direman dan dua dijamin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN