LONDON: Jaguh No. 1 dunia, Dovak Djokovic dan bintang tuan rumah, Andy Murray meneruskan kemaraan ke pusingan ketiga semalam, namun kejohanan tenis tertua dunia, Wimbledon dibayangi isu kualiti rumput yang buruk.
Penyandang juara, Djokovic dari Serbia meneruskan misi memburu gelaran Wimbledon keenam dan Grand Slam ke-20 selepas mudah menyingkirkan pemain ranking ke-102 dunia, Kevin Anderson dari Afrika Selatan.
Juara 2013 dan 2016, Murray bagaimanapun dipaksa berhempas pulas untuk mengetepikan pemain tidak ternama Jerman, Oscar Ote yang bermula dari pusingan kelayakan 4-6, 4-6, 6-4, 6-2.
Murray, 34, yang menjadi pemain terbaharu tergelincir dan terjatuh di permukaan rumput Gelanggang Utama kini akan berdepan pilihan ke-10 dari Kanada, Denis Shapovalov.
Dalam aksi terdahulu, bintang Australia, Nick Kyrgios menyifatkan permukaan di Wimbledon satu ‘jenaka’, manakala juara tujuh kali, Serena Williams terpaksa menarik diri di pusingan pembukaan akibat kecederaan buku lali kerana terkehel.
Kelmarin, pemain Perancis, Adrian Mannarino sedang memberi saingan hebat kepada juara lapan kali, Roger Federer sebelum tergelincir dan mengalami kecederaan lutut yang menyebabkan dia terpaksa menyerah kalah pada kedudukan 6-4, 6-7 (3/7) 3-6, 4-2.
Semalam, perlawanan Kyrgios menentang Ugo Humbert dari Perancis sedang terikat 6-4, 4-6, 3-6, 6-1, 3-3 ketika ia dihentikan selama dua jam, 44 minit kerana peraturan perintah berkurung.
Ketika kamera televisyen menghampirinya, Kyrgios sempat memberi komen: “Berhenti memotong rumput terlalu pendek. Ia sangat pendek, mula berair. Tolong kembalikan ia kepada ‘gelanggang rumput’ sebenar.”
Sejurus memenangi perlawanan 6-4, 4-6, 3-6, 6-1, 9-7, pemain No. 60 dunia itu meneruskan kritikannya dengan menulis di media sosial: “Kepada anda yang menonton di rumah, keadaan sepatutnya laju di sini tapi mereka menjadikan ia perlahan. Ini bukan lagi rumput, ia jenaka.” – AGENSI