New York mahu perangi Islamofobia terhadap rakyat Palestin - Mamdani - Utusan Malaysia

New York mahu perangi Islamofobia terhadap rakyat Palestin – Mamdani

ZOHRAN MAMDANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Datuk Bandar terpilih New York, Zohran Mamdani berikrar akan memerangi Islamofobia dan perkauman terhadap rakyat Palestin secara berterusan apabila beliau memegang jawatan mulai minggu depan, lapor Anadolu.

“Sebagai Datuk Bandar, saya akan menjadikan tanggungjawab ini untuk menghargai, melindungi dan meraikan semua warga New York serta memerangi Islamofobia dan perkauman anti-Palestin di setiap sudut,” katanya pada Selasa malam.

Beliau mengulas perbualannya dengan seorang pelajar Palestin yang menjadi sasaran gangguan dalam talian dan ugutan bunuh selepas ahli teori konspirasi secara palsu menyalahkannya atas satu insiden tembakan maut.

Mamdani berkata di platform media sosial X bahawa pelajar Universiti Brown, Mustapha Kharbouch, menjadi sasaran selepas sekeping gambar beliau memakai keffiyeh tular dalam talian, sekali gus mencetuskan apa yang disifatkan Mamdani sebagai Islamofobia dan perkauman anti-Palestin.

Menurut Mamdani, latar belakang Palestin Kharbouch dijadikan alasan untuk ugutan yang diterimanya.

Dalam satu perbualan telefon, Kharbouch turut berkongsi dengan Mamdani mengenai minat akademiknya dalam bidang hubungan antarabangsa dan antropologi, latihan industri musim panasnya di New York City, serta pertimbangannya untuk melanjutkan pengajian ke peringkat PhD.

“Saya beritahu Mustapha bahawa kami amat mengalu-alukan kepulangannya ke New York City,” kata Mamdani, yang mencipta sejarah sebagai datuk bandar Muslim pertama New York.

Mamdani dijadual mengangkat sumpah jawatan pada 1 Januari 2026. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×