PETALING JAYA: Demi sahabat yang dianggap seperti abang sendiri, penyanyi dan komposer, Aina Abdul sanggup menangguhkan penerbangannya ke Bangkok bagi memeriahkan konsert Cadenza of the Soul: Noh Salleh with Aubrey Suwito Orchestra, malam tadi.
Menurut Noh, Aina sepatutnya sudah berada di Bangkok semalam bagi menyertai Eurovision Song Contest Asia 2026, namun penyanyi itu memilih untuk hadir dan menyampaikan dua buah lagu, iaitu Kotak Hati dan Sang Penikam, pada konsert berkenaan.
“Hari ini dia sepatutnya tidak lagi berada di Malaysia kerana perlu berjuang membawa nama negara di Eurovision Song Contest Asia 2026.
“Tetapi saya tahan, kerana konsert ini tidak akan terasa indah tanpa Aina,” katanya ketika membuat persembahan di Idea Live Arena pada Ahad.
Bercerita mengenai persahabatannya dengan Aina, vokalis kumpulan Hujan itu berkata, kolaborasi menerusi lagu Sang Penikam yang diberikan nafas baharu pada tahun ini membuka lebih banyak peluang dan rezeki buat mereka.
“Awak tahu saya bukan artis arus perdana dan pernah dipandang hina oleh netizen. Saya kembali mendapat perhatian netizen selepas menyanyikan lagu Sang Penikam 2026 bersama awak.
“Pintu rezeki itu daripada Tuhan, tetapi kami merasakan perjalanan kerjaya semakin rancak selepas Sang Penikam 2026, sehinggalah saya diberi peluang menjadi juri pertandingan Borneo Rising,” katanya.
Dalam persembahan sama, Noh turut mengambil kesempatan menyampaikan penghargaan kepada Aina atas segala sokongan dan pengorbanan penyanyi itu sepanjang persahabatan mereka.
“Saya hendak mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Aina kerana sejak awal kita berkenalan, awak sudah menunjukkan sisi terbaik diri.
“Sebagai seorang adik, pemuzik dan manusia, awak sudah melakukan pelbagai pengorbanan demi saya dan perjalanan muzik Noh Salleh.
“Saya tidak tahu apa lagi yang tidak cukup yang saya dapat daripada Aina. Jadi, saya hendak mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Aina,” katanya.
Bagaimanapun, Aina difahamkan telah berlepas ke Bangkok kira-kira pukul 9 pagi tadi bagi meneruskan komitmennya dalam pertandingan berkenaan.
Terdahulu, konsert anjuran bersama Altus Prohouse dan CK Star Entertainment itu menyaksikan Noh mendendangkan 20 lagu popular sepanjang perjalanan seninya.
Antara lagu yang dipersembahkan termasuk Angin Kencang, Rahsia Tuhan, Bunga Di Telinga, Renjana, Bila Aku Sudah Tiada, Pagi Yang Gelap dan Aku Skandal, dengan iringan orkestra pimpinan maestro, Aubrey Suwito. -UTUSAN










