Koperasi terjejas Covid-19 rebut peluang tabung Medac

Koperasi terjejas Covid-19 rebut peluang tabung Medac

ABDUL Fattah Abdullah (dua dari kiri) menyampaikan bahan PPE kepada Pengarah Hospital Jengka, Dr. Mohd. Sharafana Senasi Abdullah (dua dari kanan) di Hospital Jengka di Maran, Pahang. - FOTO/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Sektor koperasi yang terjejas akibat penularan Covid-19 perlu merebut peluang pembiayaan menerusi Tabung Modal Pusingan (TMP) Jabatan Pembangunan Koperasi (JPK) berjumlah RM230 juta yang diumumkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) Ahad lalu.

Pengerusi Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa), Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, berdasarkan kajian Medac, kira-kira 30 operator koperasi di seluruh negara terjejas berikutan sekatan pergerakan dilaksanakan kerajaan bagi membendung penularan Covid-19 sejak tahun lalu.

Katanya, antara sektor koperasi paling teruk terkesan ialah membabitkan operator pelancongan, perkhidmatan dan perhotelan.

“Pengumuman oleh Menteri Medac, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar diharap dapat memberi kelegaan sedikit kepada koperasi yang terjejas ini.

“Cuma kalau boleh, syarat permohonan itu dipermudahkan dan lebih fleksibel bagi memastikan proses (kelulusan) dapat disegerakan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan sumbangan set pakaian pelindung diri (PPE) dan pelitup muka dari CoopCare Angkasa di Hospital Jengka, di sini hari ini.

Sumbangan diterima Pengarah Hospital Jengka, Dr. Mohd. Sharafana Senasi Abdullah.

Wan Junaidi dalam sidang akhbarnya Ahad lalu dilaporkan berkata, Medac menyediakan peruntukan RM230 juta melalui lima produk pembiayaan TMP bagi membantu kira-kira 14,000 koperasi seluruh negara. 

Dianggarkan melalui peruntukan itu, seramai 6.5 juta ahli koperasi bakal menerima manfaat. 

Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Fattah berkata, Angkasa memperuntukkan RM4.5 juta program tanggungjawab sosial korporat (CSR) membantu barisan hadapan menangani pandemik Covid-19.

”Pada masa sama, Angkasa turut menawarkan Sukarelawan Koperasi bertugas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN