Kimia tumpah: Warga emas sangka tersalah makan - Utusan Malaysia

Kimia tumpah: Warga emas sangka tersalah makan

AZIZAH Mohammed (kiri) bersama anaknya, Amirah Natasha Johari ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Baru Sengkang di Kulai, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Seorang warga emas mengalami muntah-muntah, sakit tekak, mabuk dan sukar bernafas apabila terhidu bau bahan kimia yang mengalir di Sungai Sengkang yang terletak kira-kira 50 meter dari rumahnya di Kampung Baru Sengkang, di sini semalam.

Azizah Mohammed, 61, berkata, ketika dia hendak menunaikan solat Asar pada pukul 5 petang, kepalanya seperti berpinar-pinar tetapi mengesyaki berasa tidak sedap badan hanya disebabkan tersalah makan.

Katanya, keadaan itu semakin menjadi-jadi hingga menyebabkannya berada dalam keadaan terhuyung-hayang sebelum memutuskan untuk memakan ubat dan menenangkan diri dengan tidur seketika.

“Sebaik sahaja bangun, saya rasa loya dan sakit tekak itu masih ada hinggalah muntah-muntah. Saya hairan dengan apa yang berlaku sehingga anak beritahu bau busuk yang kurang menyenangkan itu berpunca daripada pencemaran di Sungai Sengkang.

“Dia memaklumkan permukaan air di kawasan parit itu kelihatan hitam pekat dan sangat kotor. Kami juga hairan apa punca pencemaran itu berlaku. Disebabkan rasa mabuk, mata pedih dan sakit tekak, anak saya pun bawa ke hospital untuk dapatkan rawatan dan doktor kata keadaan tidak memudaratkan lalu pulang ke rumah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, sebuah tangki bersaiz 1,000 liter mengandungi bahan kimia di sebuah stor di Jalan Besar, Kampung Baru, Sengkang di sini pecah dan mengakibatkan bahan itu mengalir ke sungai berhampiran, semalam.

Tumpahan berkenaan dipercayai bahan kimia dari jenis methyltriocdylam monium chloride, hydrogen peroxide solution, n-methyl cyclohexylamine, namun Jabatan Alam Sekitar (JAS) sedang membuat pemeriksaan lanjut.

Azizah berkata, selepas pulang ke rumah, anak perempuannya pula, Amirah Natasha Johari, 19, mengalami sakit tekak dan sesak nafas kerana bau pencemaran sisa buangan di sungai itu amat kuat.

Risau akan kesihatan keluarga makin terjejas, Azizah berpindah ke rumah anaknya yang lain tidak jauh dari kawasan itu buat seketika sehingga keadaan beransur pulih.

Sementara itu, Amirah berkata, dia turut berasa pening kepala akibat terhidu bau busuk sehingga menyebabkan susah hendak tidur disebabkan sukar bernafas kira-kira pukul 12 tengah malam.

“Sebab itu emak buat keputusan untuk tinggal di rumah kakak buat sementara waktu, walaupun keadaan kini beransur pulih kami bimbang juga sekiranya situasi akan kembali kerana tidak tahu tumpahan itu seteruk mana,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN