BUTTERWORTH: Sebuah kilang yang mengeluarkan bahan penebat (insulation) di Perai dekat sini diarahkan menghentikan operasi selepas dikesan mencemarkan alam sekitar.
Kilang itu yang memperoleh kelulusan daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri untuk beroperasi diserbu Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri yang bertindak atas aduan pelepasan air berwarna yang diterima daripada orang awam.
Menurut Pengarah JAS negeri, Sharifah Zakiah Syed Sahab, hasil pemeriksaan, kilang itu dikenakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) di bawah Seksyen 38(1)(a), Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 ke atas peralatan pemprosesan untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Selain itu jelasnya, empat kompaun bernilai RM8,000 turut dikeluarkan kepada pemilik kilang tersebut di bawah Peraturan 5,6,7 dan 17 Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009.
Tambah beliau, notis Arahan Seksyen 31 dan 37 di bawah peraturan yang sama dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014 juga dikeluarkan untuk premis itu menyelenggara dan menambah baik sistem rawatan efluen dan alat kawalan udara.
“Kilang ini hanya akan dibenarkan beroperasi semula selepas langkah pembaikan yang memuaskan diambil,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Sharifah Zakiah menasihatkan pihak industri yang telah mendapat kebenaran beroperasi mengamalkan pengeluaran bersih dan sentiasa mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh pihak kerajaan dalam pemeliharaan alam sekitar.
Selain itu katanya, pemilik kilang juga perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi pencegahan kawalan penyakit berjangkit.
“JAS Pulau Pinang akan mengadakan rondaan dan pemeriksaan secara kerap ke kawasan-kawasan industri bagi memastikan industri mematuhi semua peraturan yang ditetapkan,” katanya.










