PUTRAJAYA: Sebuah kilang dan asrama pekerja di Sungai Lalang, Kuala Muda, Kedah antara dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai Ahad hingga 17 Julai ini.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kilang terbabit, Jimat Jaya Sdn. Bhd. di Zon Industri Ringan Bukit Makmur dan asrama di Jalan Seroja, Taman Seroja merekodkan 471 kes positif Covid-19 dengan kadar kebolehjangkitan adalah tinggi.
Beliau berkata, turut dikenakan PKPD ialah di Taman Nagasari, Mukim 6, Daerah Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang yang mencatatkan 118 kes baharu selain Rumah Panjang Malang anak Bada di Sungai Bayan, Mukah, Sarawak apabila merekodkan 38 kes baharu.
“Lima lokaliti di Sabah turut diwartakan PKPD antaranya Kampung Naruntung di Pitas, Kudat dan Kampung Iban di Kuala Nansang, Tawau serta tiga lokaliti terletak di Pantai Barat iaitu Kampung Siasai Dundau dan Kampung Pantai Emas di Kota Belud serta Kampung Babagon, Penampang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu jelasnya, satu lagi lokaliti di bahagian berkenaan dilanjutkan PKPD melibatkan Kampung Gusi, Kinarut, Papar yang merekodkan 155 kes Covid-19 dengan masih berlaku penularan dalam komuniti serta trend kes baharu di lokaliti tersebut.
Dalam pada itu, bilangan pesalah ingkar prosedur operasi standard (SOP) seluruh negara semalam merekodkan 636 individu dicekup dengan 597 dikompaun manakala 39 lagi direman.
“Seramai 10 pendatang asing tanpa izin turut ditahan dan enam kenderaan darat disita melalui Operasi Benteng dengan sebanyak 177 buah bot atau kapal dicurigai turut dikesan berdekatan perairan negara kita melalui tujuh aktiviti penglihatan yang dibuat oleh pasukan keselamatan,” katanya.
Menyentuh isu kuarantin wajib, seramai 762 individu tiba di tanah air semalam dengan kesemua mereka diarahkan menjalani proses mandatori itu di sejumlah stesen kuarantin.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula membuat pemantauan 11 jenis bekalan barangan di 603 peruncit, 134 pemborong dan 31 pengilang selain melakukan sejumlah 1,612 pemeriksaan khas pematuhan SOP dengan hanya 28 premis yang terlibat dikenakan kompaun.