MB Perlis kalah pemilihan YDP Pas Arau

MB Perlis kalah pemilihan YDP Pas Arau

MOHD. SHUKRI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pemilihan Pas Kawasan Arau menyaksikan kejutan apabila Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli tewas bagi jawatan Yang Dipertua.

Mohd. Shukri yang juga Pesuruhjaya Pas negeri hanya memperoleh 43 undi, tewas kepada penyandang, Solahudin Azmi yang menerima sebanyak 128 undi.

Bagi jawatan Timbalan Yang Dipertua, Ruselee Eizan gagal mempertahankan kedudukannya tewas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Sanji, Mohd. Ridzuan Hashim.

Mohd. Ridzuan memperoleh 135 undi jauh meninggalkan Ruselee yang menerima 34 undi.

Bagi jawatan Naib Yang Dipertua, ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri (exco), Razali Saad yang memperoleh 39 undi tewas kepada Mohd. Yusairi Mansor yang mendapat 130 undi.

Pas Kawasan Arau mengadakan mesyuarat agung tahunan semalam dengan membabitkan 173 perwakilan daripada 60 cawangan.

Solahudin berkata, keputusan itu menunjukkan keyakinan perwakilan terhadap gandingan kepemimpinan sedia ada.

Katanya, ia tidak menjejaskan peranan dan sumbangan besar pimpinan kerajaan negeri dalam memacu pentadbiran berlandaskan prinsip Islam dan jemaah.

“Kekalahan dalam pemilihan bukan bermaksud ahli menolak kepimpinan kerajaan negeri, sebaliknya ia adalah proses biasa dalam budaya politik Pas yang matang.

“Pertandingan dalam pemilihan membuktikan bahawa Pas mengamalkan demokrasi tulen di peringkat akar umbi. Kekalahan bukan satu isyarat penolakan, sebaliknya peluang untuk mengukuhkan lagi peranan masing-masing dalam saf ke­pimpinan jemaah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN