PETALING JAYA: Sebanyak 203 kes kemalangan membabitkan bas direkodkan dalam tempoh 29 bulan sejak 2023 hingga Mei lalu.
Dalam tempoh itu, 39 kematian direkodkan, 68 cedera parah dan 197 kecederaan ringan dilaporkan.
Analisis Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati, memandu melebihi had laju, penyelenggaraan tidak berkala, kerosakan mekanikal serta tekanan daripada syarikat pengendali bas menjadi antara punca nahas.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, 104 kemalangan membabitkan bas berlaku pada 2023, 61 kes (2024) dan 38 kes bagi tempoh lima bulan tahun ini.
Katanya, faktor pemandu dan kenderaan menjadi punca utama dikenal pasti dalam nahas membabitkan kenderaan itu.
“Antaranya, pemandu letih kerana memandu terlalu lama tanpa rehat sehingga hilang tumpuan dan memandu melebihi had laju dibenarkan terutamanya di jalan berbukit dan licin.
“Malah, kurang pengalaman serta kemahiran mengendalikan bas turut menjadi punca kes kemalangan melibatkan bas, selain di bawah pengaruh alkohol dan dadah,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pada 9 Jun lalu, seramai 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) meninggal dunia selepas bas dinaiki mereka terlibat kemalangan pada pukul 1.15 pagi di Jalan Raya Timur Barat (JRTB).
Mohd. Yusri berkata, penyelenggaraan secara tidak berkala sehingga mengakibatkan brek rosak, tayar haus atau lampu tidak berfungsi turut menjadi faktor kemalangan.
Katanya, polis mendapati nahas bas turut berlaku akibat kerosakan mekanikal secara tiba-tiba seperti kegagalan sistem brek atau stereng.
“Malah, kelemahan struktur bas kerana menggunakan bas lama atau tidak memenuhi piawaian keselamatan turut dikenal pasti.
“Faktor jalan raya dan persekitaran akibat tiada lampu jalan, keadaan jalan rosak atau berlubang dan jalan sempit dan berbukit serta cuaca buruk turut dikesan menyumbang kemalangan bas,” katanya.
Beliau berkata, faktor penumpang terlalu ramai serta pengurusan yang lemah oleh majikan turut menyumbang kepada permasalahan ini.
“Kemalangan bas turut berlaku disebabkan tekanan daripada syarikat pengendali mengejar trip serta jadual ketat, selain pemandu yang tidak terlatih. Terdapat bas yang tidak diperiksa secara berkala sebelum perjalanan.
“Selain itu, antara punca kemalangan disebabkan terbabas sendiri, cuai ketika memandu, tidak perasan ada kenderaan atau terdapat objek seperti kenderaan atau binatang di depan atau sebelah,” katanya. – UTUSAN










