Kes keganasan rumah tangga meningkat di Pulau Pinang  - Utusan Malaysia

Kes keganasan rumah tangga meningkat di Pulau Pinang 

MOHD. SHUHAILY MOHD. ZAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Kadar kes keganasan rumah tangga di Pulau Pinang mencatatkan peningkatan iaitu sebanyak 239 kes dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini berbanding 177 kes tahun lalu. 

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, kesemua laporan yang diterima daripada mangsa kes keganasan rumah tangga itu membabitkan golongan wanita. 

“Terdapat peningkatan kes keganasan rumah tangga tahun ini didorong oleh pelbagai faktor. 

“Pada masa ini, mungkin ia berlaku akibat tekanan ekonomi sehingga menyumbang kepada kes keganasan rumah tangga,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, di sini hari ini. 

Menurut Mohd. Shuhaily, secara keseluruhannya dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini, sebanyak 1,623 kes jenayah dicatatkan berbanding nilai ambang 2,084 kes iaitu turun 461 kes atau 22.1 peratus. 

Jelasnya, kes melibatkan kecurian seperti di dalam kedai, bangunan dan lain-lain  pula mencatatkan peningkatan 768 kes berbanding nilai ambang 518 kes iaitu naik 250 kes atau 48.2 peratus. 

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pemilik kediaman di Georgetown yang tular kerana mendakwa polis palsu melakukan pemeriksaan di rumahnya telah memberikan kerjasama kepada polis setelah yakin kesemua yang datang itu adalah anggota polis. 

“Polis tidak memerlukan waran di dalam kes berkenaan untuk menjalankan pemeriksaan di rumah wanita terbabit. 

“Dia telah memberikan kerjasama setelah yakin semua yang datang ke rumahnya adalah anggota PDRM,”katanya. 

Sementara itu beliau berkata, sebanyak enam pegawai polis berpangkat rendah di negeri ini disiasat diatas pelbagai kesalahan antaranya berkaitan dengan pemerasan, rasuah dan pemilikan dadah. 

“Tiga daripada mereka ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) manakala tiga lagi  dalam tindakan Jabatan integriti dan Pematuhan Standard PDRM. 

“Pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dengan perlakuan jenayah,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN