PETALING JAYA: Pelancongan domestik negara mencatat pertumbuhan positif pada suku ketiga 2025 dengan rekod 72.6 juta pelawat tempatan, meningkat 9.6 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Prestasi memberangsangkan itu turut merekodkan perbelanjaan sebanyak RM29.8 billion, menunjukkan peningkatan 16.7 peratus berbanding suku yang sama tahun sebelum.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, setakat September lalu, pelancongan domestik Malaysia telah merekodkan sejumlah 216.0 juta pelawat, menunjukkan peningkatan 11.8 peratus tahun ke tahun.
“Perbelanjaan pelancongan domestik bagi sembilan bulan pertama tahun 2025, telah mencapai RM88.4 bilion, menggambarkan pertumbuhan yang kukuh sebanyak 13.7 peratus tempoh yang sama pada tahun 2024.
“Melihat kepada prestasi industri berkaitan pelancongan pada suku ketiga 2025, jualan runcit bahan api automotif mencatatkan peningkatan 6.3 peratus tahun ke tahun, mencerminkan aktiviti perjalanan domestik yang berterusan dalam tempoh tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohd Uzir, momentum positif itu disokong oleh pergerakan berterusan dan permintaan perjalanan dalam kalangan penduduk tempatan semasa ketibaan lapangan terbang domestik.
Sementara itu, hasil dalam subsektor penginapan meningkat sebanyak 14.3 peratus tahun ke tahun, mengikut penarafan bintang.
Kadar penghunian bagi hotel lima bintang ialah 68.8 peratus, manakala hotel empat bintang mencatatkan peningkatan 0.2 mata peratus kepada 62.8 peratus, diikuti hotel tiga bintang yang meningkat kepada 69.9 peratus.
“Secara ringkasnya, pelancongan domestik Malaysia merupakan salah satu tonggak utama ekonomi negara yang dipacu oleh pertumbuhan bilangan pelawat, perbelanjaan yang tinggi dan prestasi yang kukuh merentasi industri berkaitan pelancongan.
“Pertumbuhan ini dijangka berterusan dan mengukuhkan kepentingan sektor ini terhadap kesihatan ekonomi keseluruhan negara,” katanya. – UTUSAN










