Berbasikal trek ‘kenduri’ emas di Thailand

Berbasikal trek ‘kenduri’ emas di Thailand

Muhammad Ridwan Sahrom (tengah) dijulang dua pelumba Thailand selepas memenangi pingat emas dalam acara Keirin Sukan SEA Thailand 2025 di Bangkok, semalam. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Pasukan berbasikal trek Malaysia beraksi cemerlang apabila membolot tiga emas dalam tiga acara awal di Sukan SEA Thailand 2025 di Velodrom Hua Mak, semalam.

Muhammad Ridwan Sahrom memulakan pesta kem Malaysia menerusi acara keirin lelaki sebelum, Nur Aisyah Mohamad Zubir berjaya meraih emas dalam acara scratch wanita.

Tidak lama selepas itu, gandingan Abdul Azim Aliyas, Newjoe Lau, Muhammad Hafiq Mohd Jafri dan Muhammad Yusri Shaari pula mempamerkan kayuhan bertenaga untuk emas dalam acara kejar mengejar lelaki.

Muhammad Ridwan yang menggalas amanah besar dalam acara keirins melakar kejutan apabila menundukkan jaguh tuan rumah untuk merangkul pingat emas.

Pelumba berusia 25 tahun itu mempamerkan kayuhan bertenaga untuk menewaskan pemenang pingat emas Sukan Asia 2018 dari Thailand, Jai Angsuthasawit.

Kemenangan itu disifatkan cukup bermakna buat Ridwan selepas mendedikasikan kejayaan tersebut khas buat abangnya, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, yang terpaksa menarik diri pada saat akhir akibat kecederaan lutut.

“Pingat emas ini saya hadiahkan untuk Shah dan juga keluarga saya serta jurulatih yang memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada saya untuk menggalas tanggungjawab ini selepas Shah disahkan perlu menjalani pembedahan.

“Saya banyak mengadu dan bertanya nasihat daripadanya (Shah). Alhamdulillah, semua pengorbanan selama sebulan berlatih di Chiang Mai terjawab hari ini,” katanya.

Ridwan mendedahkan, kemenangan itu tidak dijangka kerana sedar berdepan cabaran hebat dua pelumba Thailand terutama Jai pada pusingan terakhir.

“Sejujurnya tiada perancangan. Ketika perlumbaan berbaki satu setengah pusingan, saya nampak Jai mahu melakukan gerakan kedua. Saya terus ‘full gas’ dan beritahu diri sendiri apa pun jadi, saya kena lawan.

“Di laluan lurus terakhir, saya nampak dia sedikit perlahan dan saya terus memecut di sebelahnya untuk mencapai kemenangan,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Yusri yang beraksi dalam acara kejar mengejar lelaki berbangga apabila kerja keras pasukannya memastikan Malaysia membawa pulang pingat emas.

“Saya gembira kerana sedar Thailand tidak beri kami kemenangan mudah dan kami berjaya atasi mereka dengan cara tersendiri. Alhamdulilah rezeki milik negara dan kemenangan ini buat semua,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×