PETALING JAYA: Rakyat Malaysia menikmati penjimatan nilai bersamaan lebih RM200,000 sepanjang tempoh hayat pinjaman perumahan biasa, berbanding pembeli rumah negara lain di Asia Pasifik.
Ini berdasarkan perbandingan eksklusif baharu terhadap kadar dan terma gadai janji merentasi enam negara Asia Pasifik iaitu Indonesia, Vietnam, Thailand, Malaysia, Korea Selatan dan Jepun oleh Juwai IQI.
Kadar faedah gadai janji biasa bagi Malaysia adalah pada 4.7 peratus, berbanding Indonesia pada 8.99 peratus, Vietnam (7.75 peratus), Thailand (5.52 peratus), Korea Selatan (3.98 peratus) dan Jepun (1.99 peratus).
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari berkata, Malaysia muncul sebagai pasaran gadai janji paling mesra peminjam di rantau ini.
“Sepanjang tempoh 30 tahun bagi pinjaman biasa bernilai RM200,000, peminjam di Malaysia hanya membayar RM173,419 sebagai faedah, manakala pembeli rumah yang setara di Indonesia perlu membayar RM378,292.
“Ini bermakna pembeli di Indonesia membayar RM204,873 lebih tinggi untuk gadai janji mereka berbanding pembeli di Malaysia.
“Oleh kerana sistem kewangan dan persekitaran kawal selia Malaysia yang kukuh, pembeli rumah di negara ini membayar kurang daripada separuh kos pinjaman perumahan yang ditanggung oleh pembeli di Indonesia,” katanya.
Beliau berkata, keadaan ini menjadikan Malaysia antara pasaran paling stabil dan mesra peminjam dalam kalangan pasaran Asia Pasifik yang setara.
“Bukan Indonesia sahaja. Kami meneliti enam negara Asia Pasifik dan mendapati pembeli rumah di Malaysia membayar kadar gadai janji yang lebih rendah berbanding pembeli di semua negara lain kecuali dua negara,” ujarnya.
Menurut Kashif, pembeli rumah di Malaysia menikmati tawaran gadai janji yang jauh lebih baik disebabkan perbezaan kadar faedah antara negara, dengan kadar di Malaysia lebih rendah hasil tadbir urus negara yang baik.
“Sebagai contoh, kumpulan simpanan nasional yang besar seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memastikan bank-bank di Malaysia mempunyai kecairan ringgit tempatan yang mencukupi untuk dipinjamkan.
“Peminjam di Malaysia juga mendapat manfaat daripada tahap ketelusan yang jarang ditemui di Asia Tenggara.
“Mereka tidak terperangkap dengan kadar promosi rendah yang selepas tiga tahun tiba-tiba melonjak dan meningkatkan bayaran gadai janji sehingga 50 peratus, seperti yang berlaku di Thailand dan Vietnam,” jelasnya.
Beliau berkata, Malaysia juga istimewa kerana bank diwajibkan bersikap telus tentang jumlah sebenar yang dikenakan.
“Bank mengenakan kadar premium ke atas Kadar Asas Standard (SBR). Jika satu bank menawarkan ‘SBR + 1.45 peratus’, manakala bank lain hanya menawarkan ‘SBR + 2.0 peratus’, peminjam mengetahui bahawa pinjaman perumahan mereka akan jauh lebih murah dengan tawaran pertama,” katanya. – UTUSAN









