Kerajaan Pusat perlu bertanggungjawab - Utusan Malaysia

Kerajaan Pusat perlu bertanggungjawab

WAN ROSDY WAN ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Barisan Nasional (BN) Pahang menjunjung titah atas penzahiran perasaan amat dukacita Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkaitan pembatalan Ordinan-ordinan Darurat.

Pembatalan itu disebut di Dewan Rakyat pada 26 Julai lalu oleh wakil kerajaan Pusat, tetapi sebenarnya tidak mendapat perkenan Seri Paduka terlebih dahulu seperti mana titah maklum dalam kenyataan media dikeluarkan oleh Istana Negara hari ini.

Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, BN negeri ditunjangi UMNO, juga berasa teramat sedih dan begitu kesal dengan kejadian itu yang bukan sahaja membelakangi kuasa Seri Paduka selaku Ketua Utama Negara, malah prinsip kedaulatan undang-undang sekali pun.

“Bak kata pepatah, ‘terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya’. Dalam hal ini, yang terlajak bukan setakat tutur kata malah dalam tindakan sehingga mengelirukan rakyat.

“Oleh itulah, BN negeri menuntut agar kerajaan Pusat mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas kekhilafan yang sangat nyata ini dan sikap membisu sehingga kini, tidaklah sekali-kali membantu.

“Umpama ‘sudah terang lagi bersuluh’, tiada pilihan yang ada kepadanya kecuali permohonan keampunan ke sisi Seri Paduka serta tindak balas sewajarnya yang perlu diambil oleh Perdana Menteri, serta menteri yang bertanggungjawab mengenainya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Yang di-Pertuan Agong hari ini menzahirkan rasa sangat dukacita dengan kenyataan dibuat di Parlimen bahawa kerajaan membatalkan semua Ordinan Darurat yang telah dimasyhurkan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan berkata, ini sedangkan, pembatalan semua Ordinan Darurat belum mendapat perkenan Seri Paduka.

Beliau berkata, Seri Paduka turut berdukacita kerana pembatalan semua Ordinan Darurat berkuat kuasa 21 Julai lalu yang dilakukan secara tergesa-gesa tanpa pembentangan di Parlimen bukan sahaja gagal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang di dalam Rukun Negara.

Malah, tindakan tersebut membelakangi fungsi dan kuasa Seri Paduka selaku Ketua Negara yang bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri berdasarkan Perkara 40 (1) Perlembagaan Perlembagaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN