Kerajaan Pulau Pinang beri tanah kepada syarikat swasta sebagai balasan - Utusan Malaysia

Kerajaan Pulau Pinang beri tanah kepada syarikat swasta sebagai balasan

LIM GUAN ENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang meluluskan pemberimilikan tanah kepada sebuah syarikat swasta sebagai balasan kerja-kerja yang diselesaikan berkaitan projek pembinaan terowong dasar laut dan jalan utama di negeri itu.

Datuk Lim Hock Seng, 73, berkata, Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) negeri pada 11 Disember 2014 memaklumkan bahawa perjanjian awal yang dimeterai di antara kerajaan negeri dan Consortium Zenith BUCG Sdn. Bhd. (CZBUCG) menyatakan syarikat itu berhak menamakan pihak ketiga, Ewein Zenith Sdn. Bhd. sebagai pemilik tanah itu.

Beliau yang merupakan saksi pendakwaan ketiga berkata, mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Ketua Menteri ketika itu, Lim Guan Eng kemudian meluluskan pemberimilikan tanah Lot 702 Seksyen 1, Bandar Tanjong Pinang kepada syarikat berkenaan.

Ahli Parlimen Bagan itu menghadapi tuduhan menyebabkan Pendaftar Tanah Pulau Pinang melupuskan harta milik kerajaan negeri iaitu Lot Tanah No. H.S.(D) 18801, No. PT Lot 702 Seksyen 1, Bandar Tanjong Pinang, Daerah Timor Laut, Pulau Pinang, bernilai RM135,086,094 kepada Syarikat Ewein Zenith Sdn. Bhd.

Ketika menjawab soalan tambahan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin, Hock Seng berkata, dia mengetahui bahawa Lot 702 itu kemudian ditambak untuk membangunkan projek `City of Dreams’ terletak di Tanjong Tokong.

Projek yang menghadap laut itu melibatkan pembinaan dua blok kondominium mewah yang mempunyai kepadatan penduduk 80 unit per ekar.

Bagaimanapun, saksi berkata, beliau tidak mengetahui sama dua blok itu melebihi kepadatan penduduk yang dibenarkan.

Ketika membacakan pernyataan saksi, Hock Seng berkata, dua tahun selepas itu, MMK yang bersidang pada 30 November 2016 turut meluluskan satu lagi permohonan pemberimilikan tanah iaitu sebahagian Lot 713 kepada CZBUCG.

Menurut bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Bagan Jermal itu, CZBUCG memohon agar tanah tersebut didaftarkan kepada syarikat Zenith Urban Development Sdn. Bhd.

Jelas saksi, MMK ketika itu turut meluluskan bayaran terakhir ke atas kajian kebolehlaksanaan dan reka bentuk terperinci bagi tiga jalan utama berjumlah RM73.6 juta melalui kaedah
pemberimilikan tanah seluas dua ekar di sebahagian Lot 713 Seksyen 1.

Menurut Hock Seng, kedua-dua lot tanah itu merupakan tanah yang ditambak dan dikenalpasti bagi projek pembinaan jalan-jalan utama dan terowong di negeri tersebut.

Guan Eng juga dituduh menyebabkan Pendaftar Tanah Pulau Pinang melupuskan Lot Tanah No.H.S.(D) 19318, No. PT Lot 10012 Seksyen 1, Bandar Tanjong Pinang, Daerah Timor Laut, bernilai RM73,668,986 kepada Syarikat Zenith Urban Development Sdn Bhd.

Guan Eng didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Tingkat 21, KOMTAR pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.

Pendakwaan terhadap beliau dikemukakan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

Guan Eng, 60, turut didakwa terhadap tuduhan pindaan menggunakan kedudukan beliau semasa menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima suapan bagi dirinya wang berjumlah RM3.3 juta sebagai tindakan membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dilantik bagi melaksanakan projek itu yang bernilai RM6.3 bilion.

Zarul Ahmad merupakan Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn. Bhd.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 16 Ogos ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya