ABUJA: Hampir 400 individu telah dijatuhi hukuman oleh mahkamah Nigeria selepas didapati mempunyai kaitan dengan kumpulan militan Islam melalui perbicaraan besar-besaran yang dijalankan.
Pesalah telah dikenakan hukuman bermula dari lima tahun sehingga penjara seumur hidup selepas dikaitkan dengan Boko Haram atau kumpulan serpihan saingannya, Wilayah Afrika Barat Negara Islam (Iswap).
Perbicaraan itu berlaku ketika kerajaan berada di bawah tekanan hebat untuk mengekang peningkatan ketidaktenteraman di negara paling padat penduduk di Afrika itu.
Pasukan keselamatan sedang bergelut dengan pelbagai kumpulan bersenjata, daripada militan Islam hingga ke kumpulan pemisah, serta kumpulan penculikan untuk mendapatkan wang tebusan.
Boko Haram melancarkan pemberontakan di timur laut pada tahun 2009, membunuh puluhan ribu orang dan menyebabkan lebih dua juta orang hilang tempat tinggal, menurut kumpulan bantuan.
Pada Rabu, Amerika Syarikat (AS) menggesa rakyatnya untuk mempertimbangkan semula perjalanan ke negara tersebut disebabkan oleh situasi keselamatan yang semakin merosot.
Lebih 500 suspek telah dibicarakan di mahkamah tinggi persekutuan di ibu negara, Abuja, atas pertuduhan sama ada mengambil bahagian dalam serangan atau menyokong militan melalui pembiayaan, pembekalan senjata atau memberikan sokongan logistik.
Pada Jumaat, hakim mensabitkan 386 daripada mereka, manakala dua dibebaskan, lapan dilepaskan dan kes membabitkan 112 suspek telah ditangguhkan, kata pegawai berkaitan.
Lima daripada tertuduh telah mengaku bersalah pada permulaan perbicaraan terhadap pertuduhan yang termasuk menjual ternakan, membekalkan makanan dan maklumat kepada kumpulan militan tersebut.
AS telah melakukan serangan udara di utara negeri Sokoto pada hujung tahun lalu untuk menyasarkan kumpulan militan Islam yang dikenali sebagai Lakurawa selepas Presiden Donald Trump mendakwa bahawa penganut Kristian sedang dianiaya di Nigeria.
Kerajaan menafikan dakwaan Trump tersebut dengan menyatakan bahawa penganut semua agama mahupun mereka yang tidak beragama adalah mangsa keganasan. – BBC










