Kementerian Sumber Manusia terima 5,003 aduan pelbagai isu buruh

Kementerian Sumber Manusia terima 5,003 aduan pelbagai isu buruh

KAKITANGAN penguatkuasaan Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) sewaktu operasi pematuhan SOP operasi kilang di Pulau Indah, Pelabuhan Klang, Selangor, hari ini. - FOTO/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Kementerian Sumber Manusia menerima sebanyak 5,003 aduan berkaitan pelbagai isu perburuhan menerusi aplikasi Working For Workers (WFW) sejak ia dilancarkan Mei sehingga 6 Julai kelmarin.

Timbalan Menterinya, Datuk Awang Hashim berkata, pihaknya menerima 2,154 kes melibatkan majikan tidak membenarkan bekerja dari rumah (BDR) ketika pandemik Covid-19 diikuti gaji yang tidak dibayar atau pembayaran gaji lewat (1,180 kes).

Menurut beliau, terdapat 388 kes pula melibatkan aduan potongan upah tidak mengikut undang-undang manakala aduan lain-lain ialah dibuang tanpa notis (312), tiada bayaran lebih masa dan faedah pemberhentian (306), majikan tidak mematuhi upah minimum (130), tiada kontrak pekerjaan (96) dan tiada cuti tahunan (86).

AWANG HASHIM

“Disebabkan ini, kami berbincang dengan majikan supaya ada tolak ansur ketika kita menghadapi Covid-19. Kita terpaksa hadapi, satu dunia memang terkesan dengan keadaan ini.

“Ini yang kita perlukan pertimbangan daripada pengurusan tertinggi setiap syarikat,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Sehubungan itu, kementerian menerusi Jabatan Tenaga Kerja (JTK) melakukan pemeriksaan terhadap 20,674 majikan yang melibatkan 112,840 penginapan di seluruh negara.

Awang menambah, sehingga 6 Julai lalu, sebanyak 793 kertas siasatan telah dibuka di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Akta 446) yang melibatkan pelbagai jenis kesalahan dan daripada jumlah itu, sebanyak 125 kes sudah didakwa membabitkan jumlah denda sebanyak RM431,000 manakala 348 kes lagi dikenakan kompaun berjumlah RM4.5 juta.

“Kesalahan paling banyak ialah majikan tidak menyediakan kemudahan asas kepada pekerja. Mereka ini walaupun pekerja asing, mereka tetap manusia yang perlu kita jaga. Kucing pun kita beri tempat tinggal yang elok.

“Kita akan mencadangkan agar majikan menyediakan penginapan berpusat, kalau jadi apa-apa, senang untuk kawalan dan tindakan,” ujarnya.

Bagi penguatkuasaan Akta 342 yang memberikan JTK bersama JKKP kuasa untuk mengkompaun kesalahan di bawah garis panduan Pematuhan Terhadap SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), Awang menambah, sebanyak 364 kompaun berjumlah RM3.29 juta dikeluarkan.

“Berdasarkan 2,982 tempat pekerjaan yang diperiksa, sebanyak 364 kompaun telah dikeluarkan berjumlah RM3.29 juta dan ia melibatkan beberapa sektor iaitu perkhidmatan, pembuatan, pembinaan dan pertanian juga lain-lain,” katanya.

Terdahulu beliau mengetuai Operasi Pematuhan di sebuah kilang di kawasan perindustrian Pulau Indah, Pelabuhan Klang yang menghasilkan produk pembungkusan plastik yang turut disertai agensi lain termasuk polis, Majlis Perbandaran Klang (MPK), Jabatan Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Mengenai operasi hari ini, Awang memberitahu, sebanyak sembilan kompaun berjumlah RM105,000 dikeluarkan terhadap kilang yang beroperasi dengan kapasiti tenaga pekerja seramai 158 orang terdiri daripada 123 warga asing dan 35 rakyat tempatan

Justeru, kilang terbabit didapati melakukan beberapa kesalahan yang melibatkan Akta 446, Akta 342 dan juga Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Akta 514).

Menurut beliau, lapan kompaun berjumlah RM80,000 dikeluarkan bagi kesalahan majikan gagal menyediakan peralatan menyukat suhu dan tiada kemudahan Kod QR MySejahtera untuk diimbas manakala satu kompaun bernilai RM25,000 dikeluarkan KKM atas kesalahan tiada penjarakan fizikal di tempat pekerjaan dan juga penginapan pekerja.

Ujarnya, pihak JTK Selangor membuka empat kertas siasatan terhadap syarikat ini di bawah kesalahan Seksyen 24D Akta 446 iaitu tiada perakuan penginapan manakala di bawah bidang kuasa JKKP, dua notis dan satu surat arahan dikeluarkan melibatkan kesalahan di bawah Akta 514.

“Kita meminta meminta kerjasama semua pihak khususnya para pemain industri dan juga komuniti industri agar terus memberikan sepenuh komitmen dalam menjayakan usaha mengekang dan memutuskan penularan pandemik Covid-19 demi kepentingan dan kesihatan kita bersama,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya