PETALING JAYA: Polis Petaling Jaya berjaya membongkar kegiatan pengedaran dadah membabitkan penuntut kolej swasta selepas menahan lima lelaki warga asing menerusi dua serbuan berasingan di sebuah pangsapuri Sungai Way dan di Persiaran Golf di Shah Alam pada 22 hingga 23 Julai lalu.
Penahanan kesemua suspek berusia 20 hingga 34 tahun itu dilakukan susulan risikan dan maklumat Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya.
Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fahkrudin Abdul Hamid berkata, hasil serbuan berjaya merampas dadah jenis ganja seberat 11.5 kilogram dianggarkan bernilai RM34,731.
Jelas beliau, modus operandi digunakan sindiket adalah dengan menyasarkan pelajar kolej sebelum menjual dadah berkenaan dalam paket kecil seberat tiga gram dengan harga RM100.
“Suspek hanya akan menjual dadah berkenaan kepada pelanggan yang dikenali secara bersemuka untuk elak kegiatan dikesan.
“Suspek menjadikan penuntut kolej warga asing sekitar Sungai Way dan Damansara sebagai pelanggan dan semua bayaran dibuat secara tunai,” katanya sidang media di IPD Petaling Jaya, di sini, hari ini.
Mohamad Fahkrudin berkata, bekalan ganja berkenaan diperoleh daripada seorang individu lain sebelum diproses dan dibungkus untuk dijual.
Kata beliau, semakan lanjut, kesemua suspek dipercayai aktif menjalankan kegiatan haram ini sejak empat bulan lalu.
“Hasil serbuan yang dilakukan juga, pelbagai peralatan pembungkusan dadah selain kereta yang digunakan untuk kegiatan ini turut kita rampas.
“Dadah yang dirampas juga dianggarkan boleh dibekalkan kepada 11,577 penagih,” jelasnya.
Dalam pada itu, kata beliau, kesemua suspek direman selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Sekiranya mereka didapati bersalah hukuman gantung boleh dikenakan terhadap kesemua lelaki berkenaan,”katanya.